Khamis, 29 Ogos 2019 | 5:26pm

Garis panduan pengubahan wang haram disemak semula

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) sedang memuktamadkan semakan semula garis panduan terhadap pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid, berkata draf itu akan dibentangkan pada bulan depan dan bank pusat mempelawa semua pihak untuk memberi maklum balas mengenainya.

“Semua institusi pelapor dijemput untuk memberikan pandangan dan komen terhadap draf ini yang akan dianjurkan menerusi pihak berkuasa pelesenan yang relevan, badan pengawalseliaan kendiri, industri bersekutu atau terus kepada BNM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama oada Persidangan Bersama Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AML/CFT) Kebangsaan 2019 di Sasana Kijang, di sini, hari ini.

Persidangan yang bertemakan ‘Meningkatkan Keberkesanan Pematuhan Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AML/CFT): Risiko dan Cabaran’ itu bertujuan memperluas pemahaman sektor Perniagaan dan Profesion Bukan Kewangan yang Ditentukan (DNFBP).

Ia termasuklah sektor undang-undang mengenai risiko pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

Mengulas lanjut, Adnan Zaylani berkata, dalam beberapa tahun ini, BNM telah mengambil tindakan penguatkuasaan yang lebih ketat terhadap institusi pelapor yang tidak patuh dengan keperluan dalam pengubahan wang haram dan pencegahan pembiayaan keganasan.

Beliau turut menekankan kesan salah laku seseorang peguam ketika berurusan dengan pelanggan, mungkin akan menjejaskan reputasi dan keyakinan bukan hanya terhadap peguam atau firma yang terbabit, malah terhadap sektor perundangan secara keseluruhannya.

Katanya, peguam dan sektor DNFBP digesa supaya mengambil langkah-langkah kawalan AML/CFT yang berkesan bagi melindungi diri daripada dimanipulasi oleh penjenayah untuk aktiviti pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

“Bermula 2020, BNM akan meningkatkan tindakan pencegahan, termasuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang sesuai terhadap DNFBP di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan,” katanya.

Berita Harian X