Jumaat, 30 Ogos 2019 | 10:04am

Ringgit teruskan aliran menurun

KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan aliran harga menurunkan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada pembukaan pagi ini ekoran pengukuhan dolar AS susulan berita melaporkan AS dan China akan menyambung semula rundingan perdagangan pada September.

Pada 9 pagi, ringgit didagangkan pada 4.2180/2210 berbanding dolar AS daripada 4.2150/2200 pada Khamis.

Peniaga berkata, kerugian itu bagaimanapun dihadkan oleh harga minyak yang lebih tinggi semalaman, yang menyaksikan harga minyak Brent meningkat 0.8 peratus kepada AS$61 satu tong.

Penganalisis Kanan Pasaran OANDA Asia Pasifik, Jeffrey Halley, berkata mata wang Asia kemungkinan akan mengekori dolar AS namun tidak pada tahap yang tinggi.

"Harapan untuk peningkatan perdagangan ke rantau yang berkait rapat dengan China, akan mengehadkan kerugian dalam mata wang tempatan," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan mengukuh sedikit berbanding mata wang utama lain.

Mata wang tempatan didagangkan lebih kukuh berbanding dolar Singapura pada 3.0367/0404 daripada 3.0370/0410 pada Khamis, dan menokok berbanding yen kepada 3.9628/9667 daripada 3.9671/9729.

Ringgit mengukuh berbanding euro kepada 4.6622/6659 daripada 4.6685/6745 dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.1379/1433 daripada 5.1381/1446. - BERNAMA

Berita Harian X