Jumaat, 30 Ogos 2019 | 4:14pm
PENGARAH Urusan Baituljannah Sdn Bhd, Dr Wan Hasifi Amin Wan Zaidon (kanan) bersama Pengarah Kejuruteraan dan Teknologi, Muhamad Azrain Kamaruddin (kiri) dan Pengarah Operasi, Wan Nurdila Huda Wan Zaidon, pengasas platform digital mencari jodoh.

Baituljannah.com optimis catat 500,000 pengguna

SHAH ALAM: Baituljannah.com, platform digital berkonsepkan mencari jodoh Muslim, optimis mengembangkan capaian pelanggannya kepada 500,000 pengguna menjelang akhir tahun ini.

Pengarah Urusan Baituljannah Sdn Bhd, Dr Wan Hasifi Amin Wan Zaidon, berkata lebih 430,000 individu sudah mendaftar setakat ini dengan ejen pencarian jodoh digital itu termasuk dari Brunei dan Singapura.

Katanya, daripada jumlah itu lebih 1,000 pasangan sudah berkahwin selepas menemui jodoh mereka melalui Baituljannah.com sejak dilancarkan pada Mac tahun lalu.

“Dan berdasarkan rekod ketika ini, hampir 9,000 lagi pasangan sudah menemui jodoh masing-masing dan kini dalam proses selanjutnya ke arah gerbang perkahwinan,” katanya kepada BH, baru-baru ini.

Dr Wan Hasifi berkata, platform digital berkenaan berlandaskan syariah dan data pengguna adalah selamat serta dirahsiakan.

Beliau berkata, konsep yang dibawakan oleh Baituljannah adalah pasangan tidak berbual secara berdua sahaja dan mereka akan dipantau oleh 'orang ketiga' dari pihak Baituljannah bagi mengelakkan sebarang gangguan dan selaras dengan keperluan syarak.

"Semua aktiviti dalam platform digital pencarian jodoh Muslim ini diselenggara dan dipantau oleh 12 orang pekerja selama 24 jam sehari.

“Oleh itu, segala perbualan menerusi sistem kami akan dipantau dan ditapis demi keselesaan pelanggan,” katanya.

Mengulas mengenai perancangan jangka panjang, Dr Wan Hasifi berkata, pihaknya menyasarkan untuk meneroka pasaran Indonesia pada tahun 2020 dalam usaha meluaskan lagi penggunaan aplikasi itu di negara jiran.

Beliau berkata, pihaknya juga mempunyai pelan jangka panjang untuk melebarkan sayap ke negara Asia Barat berdasarkan prospek perniagaan dalam talian itu yang dilihat mampu berkembang lebih jauh.

Katanya, pengguna yang mahu menggunakan aplikasi ini boleh mendapatkan pakej bermula serendah RM70 dan sebahagian daripada setiap transaksi pelanggan akan disalurkan ke tabung infaq melalui pertubuhan amal yang berdaftar.

"Bagaimanapun, bagi mereka yang kurang berkemampuan aplikasi ini boleh dilayari dan digunakan secara percuma, namun aksesnya adalah terhad,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kejuruteraan dan Teknologinya, Muhammad Azrain Kamaruddin, berkata bagi pengguna Android, aplikasi versi beta sudah boleh dimuat turun melalui laman web Baituljannah.com.

“Ketika ini, sistem aplikasi berkenaan dalam proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan sudah berada di tahap akhir.

“Kami menjangkakan kedua-dua aplikasi Android dan IOS ini bakal dilancarkan secara rasmi melalui Google Play dan Apple App Store pada penghujung tahun ini,” katanya.

Bagi mengetahui lebih lanjut, layari www.baituljannah.com atau laman Facebook rasmi, Baituljannahofficial atau Instagram, baituljannah.

Berita Harian X