Rabu, 4 September 2019 | 1:34pm

Ahli ekonomi rendahkan unjuran pertumbuhan KDNK 2019 Singapura

SINGAPURA: Ahli ekonomi merendahkan unjuran masing-masing dengan ketara ke atas pertumbuhan ekonomi Singapura pada 2019, memetik ketegangan perdagangan dan kelembapan China sebagai risiko utama kepada pusat kewangan itu, demikian menurut tinjauan bank pusat negara itu hari ini.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Singapura dijangka meningkat 0.6 peratus tahun ini, menurut anggaran median 23 ahli ekonomi yang ditinjau Monetary Authority of Singapore (MAS), turun daripada 2.1 peratus dalam tinjauan MAS sebelum ini pada Jun.

Pertumbuhan 0.6 peratus berada sedikit di dalam jajaran unjuran kerajaan yang baharu direndahkan.

Kementerian Perdagangan dan Perindustrian memotong jajaran bulan lalu kepada sifar hingga satu peratus, daripada unjuran 1.5-2.5 peratus sebelumnya.

Singapura menerima kesan ketara daripada perang perdagangan AS-China, yang mengganggu rantaian bekalan dunia dalam tamparan kepada pelaburan perniagaan dan keuntungan korporat.

Data mutakhir KDNK suku kedua Singapura, yang dilaporkan pada 13 Ogos, menunjukkan penguncupan 3.3 peratus pada suku tahunan berdasarkan asas tahunan yang disesuaikan secara bermusim.

Itu mewakili penurunan kecil daripada anggaran awal kerajaan tetapi lebih daripada kejatuhan 2.9 peratus yang diunjurkan dalam tinjauan Reuters dan berbeza ketara kepada pertumbuhan 3.8 peratus pada suku pertama

Dalam kaji selidik MAS terbaru itu, ahli ekonomi mengurangkan unjuran untuk kebanyakan petunjuk makroekonomi utama tetapi meningkatkan jangkaan mereka bagi sektor kewangan, insurans dan penggunaan swasta.

Kaji selidik itu meramalkan ekonomi Singapura akan berkembang 0.3 peratus pada suku ketiga pada asas tahunan, meningkat daripada pengembangan 0.1 peratus yang dilihat pada suku kedua.

Bagi 2020, pertumbuhan setahun penuh sebanyak 1.6 peratus adalah dijangka, demikian menurut kajian itu. - Reuters

Berita Harian X