Rabu, 4 September 2019 | 1:37pm
MENTERI Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati. - Foto Reuters

Firma teknologi global di Indonesia perlu bayar VAT

JAKARTA: Indonesia sedang menyiapkan rang undang-undang yang akan membolehkan firma teknologi seperti Google milik Alphabet Inc dan Amazon membayar cukai nilai tambah (VAT), kata Menteri Kewangannya, Sri Mulyani Indrawati.

Syarikat sedemikian akan dianggap sebagai ‘pertubuhan kekal’ yang tertakluk kepada VAT di Indonesia, tidak mengira sama ada mereka mempunyai pejabat fizikal di negara itu atau tidak, kata Indrawati dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Kabinet.

Menteri itu berkata, ia disebabkan ‘mereka mempunyai kedudukan ekonomi yang signifikan’, meskipun tidak mempunyai cawangan di negara itu, memetik Google, Amazon dan Netflix sebagai contoh syarikat yang akan terkesan oleh peraturan baharu itu.

Kadar VAT di Indonesia ketika ini adalah 10 peratus, dikenakan ke atas kebanyakan produk dan perkhidmatan.

Google sebelum ini berdepan masalah di Jakarta pada 2016 berhubung tuduhan mengelak cukai, termasuk terlepas bayaran VAT ke atas pendapatan pengiklanan, yang kemudiannya diselesaikan dengan jumlah yang tidak dinyatakan.

Kerajaan Indonesia berulang kali menyatakan ia mahu menjadikan penyedia perkhidmatan penstriman seperti Nexflix membayar bahagian cukai masing-masing.

Amazon ketika ini tidak aktif dalam e-dagang di Indonesia, namun mengendalikan perkhidmatan awan.

Syarikat-syarikat terbabit tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan mengeluarkan kenyataan.

Rang undang-undang itu, yang memerlukan kelulusan Parlimen, adalah sebahagian pembaharuan cukai meluas dalam ekonomi terbesar Asia Tenggara itu, yang berhasrat menambah kutipan hasilnya, meningkatkan pematuhan serta menarik pelaburan.

Kempen pemilihan semula Presiden Joko Widodo yang menjanjikan pemotongan cukai korporat turut menjadi sebahagian rang undang-undang berkenaan, kata Indrawati.

Kadar cukai korporat akan diturunkan kepada 20 peratus daripada 25 peratus bermula 2021, manakala syarikat yang mempunyai pemilikan sekurang-kurangnya 40 peratus saham awam, kadarnya akan menjadi 17 peratus berbanding 20 peratus sekarang, katanya.

-Reuters

Berita Harian X