Rabu, 4 September 2019 | 1:59pm
TIMBALAN Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli (tengah) merasmikan Forum Ekonomi dan Perdagangan Arab-Asia OIC 2019 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mahzir Mat Isa

Memperkasa usahawan jadi tumpuan Belanjawan 2020

KUALA LUMPUR: Pemerkasaan usahawan menjadi fokus utama Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) dalam Belanjawan 2020 bagi menyokong pertumbuhan keusahawanan negara ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli, berkata sebagai sebuah kementerian baharu, MED adalah antara kementerian yang menerima peruntukan belanjawan yang paling kecil untuk tahun ini iaitu sebanyak RM489 juta.

“Perbincangan (mengenai belanjawan) masih belum dimuktamadkan. Perkara utama dalam permintaan kami untuk belanjawan tahun depan ialah untuk membangunkan usahawan, terutama untuk memastikan mereka mampu menyediakan peluang pekerjaan.

“Justeru, kami perlu memperkasakan mereka menerusi kerjasama dengan kementerian lain dalam menyediakan latihan dan sebagainya.

“Kami yakin bahawa peruntukan belanjawan akan datang adalah cukup untuk menyokong aktiviti MED bagi mempromosikan keusahawanan dan membolehkan pelajar sekolah serta universiti terbabit dalam perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Forum Ekonomi dan Perdagangan Arab-Asia OIC 2019 di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi Muslim World Biz, Muhammed Raja Talib Raja Mohamad Abdullah.

Pameran dan persidangan selama tiga hari bermula hari ini dianjurkan oleh OIC international Business Centre dan disertai lebih 500 pempamer dalam dan luar negara.

Pada acara itu juga, akan berlangsung Sidang Kemuncak Dunia Muslim Wanita 2019 selama dua hari bermula semalam.

Sementara itu, Raja Talib berkata, fokus forum untuk tahun ini ialah mengenai kerjasama di antara negara Asia dan Arab, bertepatan dengan tema forum itu sendiri.

Katanya, meskipun sudah banyak yang dicapai dalam pembangunan ekonomi oleh kebanyakan negara Arab dan Asia, namun adalah penting untuk kedua-dua negara mengukuhkan kerjasama mereka di pelbagai peringkat.

“Setiap negara mempunyai keistimewaan dan kepakaran tersendiri. Sebagai contoh, banyak negara Arab sedang membangunkan projek infrastruktur untuk pelbagai sektor, manakala negara Asia mempunyai kepakaran untuk melaksanakan projek terbabit.

“Justeru, forum ini menyediakan peluang ini dan langkah sesuai untuknya. Selain itu, forum ini juga akan membincangkan isu ekonomi global dan kesannya. Malah, kita memperuntukkan satu sesi khas untuk membincangkan impak masa depan Brexit kepada negara ahli Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC),” katanya.

Berita Harian X