Isnin, 9 September 2019 | 5:28pm
Dari kiri: Pengurus Besar Negara UBM Malaysia, Gerard Willem Leeuwenburgh; Pengurus Operasi BGS Trading Sdn Bhd, Mohamad Sahusi Mahmood; Pengarah Pemasaran Pengguna Produk Susu Dutch Lady, Ramjeet Kaur Virik dan Naib Presiden DKSH Malaysia Sdn Bhd, Michael Chew bergambar bersama ketika temuramah khas sempena FHM 2019 di Kuala Lumpur. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

FHM 2019 pemangkin industri makanan dan perhotelan

KUALA LUMPUR: Pameran Hotel dan Makanan Malaysia 2019 (FHM 2019) mampu menjadikan Malaysia sebagai platform rujukan bagi pembangunan industri makanan dan perhotelan, sejajar dengan komitmen negara untuk menjadi peneraju makanan dan minuman berkualiti di peringkat global.

Pengurus Besar Negara UBM Malaysia, Gerard Willem Leeuwenburgh, berkata pameran dwi tahunan yang memasuki siri ke-15 itu sangat ideal untuk syarikat yang menyasarkan pasaran Malaysia, yang mana ia satu-satunya platform menawarkan akses secara terus kepada pelanggan dari pelbagai bidang seperti perhotelan, restoran dan perkhidmatan makanan.

Katanya, peserta dapat melihat pelbagai peluang untuk mengembangkan perniagaan di samping membolehkan peserta industri kekal relevan dengan keperluan dan permintaan pelanggan yang sentiasa berubah-ubah.

“Setiap edisi kami menjanjikan pameran yang lebih besar dan lebih baik berbanding sebelumnya dengan peserta pameran 25 peratus lebih ramai pada tahun ini,” katanya kepada BH, baru-baru ini.

Pameran empat hari bermula 24 hingga 27 September ini dijangka meraih transaksi jualan berpotensi sehingga RM2.2 bilion, peningkatan 25 peratus berbanding edisi sebelumnya.

Dengan keluasan pameran seluas 22,000 meter persegi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) membabitkan penyertaan 1,500 syarikat dari 50 negara dan 10 pavilion negara, ia dijangka menarik lebih 28,000 pelawat dalam kalangan industri berkaitan makanan dan minuman tempatan dan antarabangsa.

Antara tarikan terbaharu FHM 2019 adalah Pavilion Agrikultur dan Zon Makanan Robotik, yang mana ia mempamerkan teknologi baharu membabitkan kemampuan meningkatkan produktiviti dan kecekapan di peringkat industri.

Serentak dengan FHM 2019, terdapat juga Persidangan Inovasi Makanan Tempatan 2019, Makanan Agri China-Malaysia, Persidangan Tahun Melawat Malaysia 2020, Persidangan Durian dan Perladangan Malaysia, Persidangan Pengusaha Makanan 2019 dan Food Truck Malaysia 2019 serta Latihan Kemahiran Keusahawanan Makanan dan Minuman.

Mengulas mengenai penyertaan di pameran itu, Naib Presiden DKSH Malaysia Sdn Bhd, Michael Chew, berkata sebagai peserta aktif di pameran ini, pihaknya teruja untuk menyaksikan pembangunan dan teknologi terbaharu yang akan diketengahkan dalam pameran itu.

“Kami yakin dengan kehadiran wakil pemasaran kami di acara ini akan mengukuhkan lagi perniagaan perkhidmatan makanan kami dan meningkatkan asas pelanggan serta meluaskan wilayah aktiviti pengedaran kami,” katanya.

Sementara itu, sebagai peneraju dalam pembuatan susu segar berkualiti tinggi, Dutch Lady Milk Industries Bhd, berpendapat FHM 2019 menyediakan platform tepat untuk memupuk kesedaran dan mendidik peserta industri terutama dalam segmen hotel, restoran dan cafe (HoReCa).

“Kami mahu berkongsi pengetahuan dan kepakaran kami mengenai susu bersama mereka dan Dutch Lady Malaysia adalah rakan kongsi strategik mereka dalam perniagaan,” kata Pengarah Pemasaran Pengguna Produk Susu Dutch Lady, Ramjeet Kaur Virik.

Dalam pada itu, BGS Trading Sdn Bhd yang juga peneraju logistik penghantaran produk makanan dan minuman jenama terkemuka, yakin pameran itu mampu meluaskan capaian pelanggannya dengan memberi lebih pengetahuan mengenai perkhidmatan yang disediakan.

“Berbeza dengan peserta lain yang menjual produk, kami menawarkan perkhidmatan logistik yang berkesan kepada pemilik jenama atau restoran di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak,” kata Pengurus Operasinya, Mohammad Sanusi Mahmood.

BGS terkenal sebagai rakan perniagaan logistik bagi jenama terkemuka antaranya KFC, Dunkin Donuts, Marrybrown, Manhattan Fish Market, Dome Cafe, Pizza Hut, TGI Friday’s, Tony Romas, Nando’s, The Coffee Bean & Tea Leaf, Secret Recipe, Hotel Shangri- La, Kumpulan Hilton, Kumpulan YTL dan Resort World.

Berita Harian X