Rabu, 11 September 2019 | 2:06pm
PESURUHJAYA Perdagangan UK bagi Asia Pasifik, Natalie Black. - Foto Aswadi Alias

Enam syarikat AI UK akan tubuh operasi di Malaysia

KUALA LUMPUR: Dalam usaha untuk memperkukuh hubungan teknologi antara Malaysia dan United Kingdom (UK), enam syarikat kecerdasan buatan (AI) UK akan menubuhkan operasi di negara ini dalam waktu terdekat.

Pesuruhjaya Perdagangan UK bagi Asia Pasifik, Natalie Black, berkata kerjasama itu selaras dengan aspirasi kedua-dua negara untuk mempromosikan etika AI, dengan beberapa pihak telah menyuarakan kebimbangan berhubung perkara itu akhir-akhir ini.

"Kami telah mengadakan perbincangan kerajaan dengan kerajaan di mana kami telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo ketika beliau berkunjung ke UK pada awal tahun ini," katanya pada persidangan NextBigTech Asia 2019 di sini, hari ini.

Kerjasama teknologi antara Malaysia dan UK, katanya, akan memacu penerapan AI dalam Revolusi Industri 4.0 pada kadar lebih cepat kerana ia dapat meningkatkan produktiviti secara menyeluruh.

Penyelidikan yang dijalankan termasuk oleh Microsoft, menurut pesuruhjaya perdagangan itu telah menunjukkan guna pakai AI pada kadar lebih tinggi akan dapat mendorong inovasi serta meningkatkan produktiviti sebanyak 60 peratus.

Beliau juga berkata, persekitaran AI yang selamat akan menyumbang kepada ekonomi global yang lebih sihat dan lebih adil.

Ketika lawatannya ke UK pada Februari tahun ini, Gobind dan delegasinya dilaporkan mengadakan siri pertemuan dengan pegawai kerajaan UK untuk meneroka kerjasama dalam beberapa bidang termasuk AI, keselamatan siber, 5G dan kandungan kreatif.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Century Tech, Priya Lakhani, berkata syarikat itu telah menjalin kerjasama dengan pihak berkepentingan tempatan untuk membawa teknologi AI ke sekolah di Malaysia.

Menurutnya, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada pertemuan antara mereka baru-baru ini, telah menyatakan minatnya untuk membolehkan orang ramai menggunakan teknologi yang betul.

"Beliau (Dr Mahathir) sangat berminat dengan apa yang ditawarkan oleh Century Tech ketika kami menunjukkan kepadanya apa yang kami ada. Beliau bercita-cita untuk meletakkan guru terbaik di Malaysia di hadapan setiap kanak-kanak, " katanya sambil menambah syarikat itu telah melantik sekolah terpilih dalam usaha untuk meningkatkan pendidikan di peringkat global, termasuk di Malaysia.

"Adalah menjadi aspirasi kami untuk meningkatkan pendidikan global dengan teknologi semasa terutamanya AI," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X