Khamis, 12 September 2019 | 3:27pm
KETUA Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia (SME Corp), Noor Azmi Mat Said. NSTP/Azhar Ramli

PKS perlu miliki pengetahuan IT

KUALA LUMPUR: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) disarankan meningkatkan pengetahuan dalam teknologi maklumat (IT), sebagai sebahagian daripada langkah untuk mengembangkan perniagaan berlandaskan teknologi masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia (SME Corp), Noor Azmi Mat Said, berkata perkembangan pesat dalam teknologi memerlukan usahawan PKS tempatan berubah ke arah perniagaan digital supaya tidak ketinggalan berbanding usahawan di negara lain.

“Kita menyeru PKS tempatan supaya meningkatkan pengetahuan dalam IT kerana perniagaan pada masa depan pastinya lain berbanding masa kini. Situasi semasa juga menyaksikan berlakunya peralihan dalam operasi perniagaan termasuk pembayaran yang kini menggunakan tanpa tunai.

“SME Corp tidak mahu PKS kita ketinggalan, malah mereka perlu bersedia dan memiliki pengetahuan mengenai teknologi perniagaan bagi tempoh dua hingga tahun akan datang. Pastinya model perniagaan juga berubah,” katanya kepada media selepas majlis pra-pelancaran Persidangan PKS Masa Depan 2019 (Future SME Conference 2019) di sini, hari ini.

Pra-Pelancaran Future SME Conference 2019 disempurnakan oleh Pengerusi SME Corp, Datuk Seri Syed Hussein Al Habshee.

Mengenai Future SME Conference 2019, Noor Azmi, berkata persidangan yang bakal disertai lebih 500 PKS itu menjadi platform penting untuk mengetahui apakah teknologi dalam perniagaan yang akan digunakan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Katanya, kira-kira 30 penyedia teknologi dari Malaysia dan luar negara dijangka mengetengahkan teknologi masing-masing sekali gus bakal menyaksikan aktiviti pemadanan teknologi dengan PKS tempatan juga dapat direalisasikan.

“Future SME Conference 2019 adalah medan terbaik kepada PKS tempatan untuk mengetahui apakah teknologi yang bakal digunakan dalam perniagaan. Persediaan ini penting untuk memastikan PKS kita sentiasa di hadapan dalam transformasi perniagaan.

“Perkembangan IT masa depan menuntut PKS untuk berubah seiring dengan perkembangan masa akan datang. Jika mereka tidak bersedia, berkemungkinan mereka akan ketinggalan,” katanya.

Future SME Conference 2019 dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 15 dan 16 Oktober ini.

Antara topik yang akan disentuh sepanjang persidangan dua hari itu adalah model perniagaan masa depan PKS; super-kluster pengangkutan masa depan; berpandangan jauh dalam pekerjaan era digital; penggunaan teknologi masa depan; dan pertumbuhan dipacu teknologi kecerdasan buatan (AI).

Berita Harian X