Jumaat, 13 September 2019 | 4:00pm
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. -NSTP/Mohd Yusni Ariffin

GST tidak akan dilaksanakan semula

PETALING JAYA: Kerajaan tidak akan melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) buat masa ini, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Guan Eng berkata, beliau tidak mendengar sebarang cadangan daripada mana-mana pakar ekonomi untuk melaksanakan semula regim cukai berkenaan.

“Kami menghapuskan GST pada Jun tahun lalu dan tidak ada rancangan untuk mengembalikannya semula,” katanya selepas merasmikan e-dompet dan platform e-dagang 1 Utama, oneshop.com.my di sini, hari ini.

Pada 24 Julai, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata kerajaan menjangkakan kutipan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diperkenal semula pada 1 September 2018, berjumlah RM22 bilion tahun ini.

Jumlah berkenaan adalah separuh daripada RM44 bilion yang dikutip ketika pelaksanaan GST oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2017.

Mengulas mengenai janji manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk membayar 20 peratus royalti kepada negeri pengeluar minyak, Guan Eng berkata, isu legasi dari kerajaan sebelum ini menghalang pelaksanaan janji berkenaan terutama royalti minyak untuk Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan sebelum ini menyebabkan sejumlah dana yang besar dibazirkan atau meletakkan Malaysia dalam masalah. Kerajaan kini sedang mencari dana sebanyak RM150 bilion, ia bukan jumlah yang kecil. Ini pastinya menjadi cabaran bagi kami untuk melaksanakan semua janji.

“Pada masa sama, saya yakin kerajaan akan mengumumkan beberapa langkah untuk menunjukkan komitmen dan keutamaan kami kepada Sabah dan Sarawak tidak berkurang,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan telah pun mengambil langkah konkrit untuk memenuhi janjinya kepada kedua-dua negeri berkenaan antaranya menamatkan perjanjian penyerahan projek (PDP) bagi projek Lebuhraya Pan Borneo.

“Ia dihentikan atas dasar rasionalisasi kos serta bagi memastikan harga, perkhidmatan dan tempoh siap yang lebih baik,” katanya.

Berita Harian X