Jumaat, 13 September 2019 | 5:13pm

Google setuju bayar 945 juta euro kepada Perancis

PARIS: Gergasi internet Amerika Syarikat (AS) bersetuju untuk membayar sejumlah 945 juta euro (AS$1 bilion) bagi mengakhiri pertikaian cukai di Perancis menerusi perjanjian yang diumumkan di mahkamah pada Khamis.

Syarikat berkenaan akan membayar denda sebanyak 500 juta euro bagi pengelakan cukai serta 465 juta euro lagi untuk menyelesaikan tuntutan dengan pihak berkuasa cukai Perancis.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Google mengesahkan penyelesaian berkenaan dan mengetengahkan fakta bahawa ia telah menamatkan perbezaan fiskal yang berlaku dengan Perancis untuk tempoh bertahun lamanya.

Penyelesaian berkenaan menyusuli perjanjian di luar mahkamah yang dicapai di Itali dan Britain oleh Google dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini walaupun perjanjian dengan Perancis ini pada skala yang lebih besar.

Google berkata kini pihaknya mahu melihat pembaharuan bersepadu daripada rangka kerja percukaian antarabangsa.

Menteri Keadilan Perancis, Nicole Galoubt dan Menteri Belanjawannya, Gerald Darmanin mengalu-alukan “penyelesaian muktamad” semua isu perbalahan sambil menambah dalam kenyataan bahawa ia adalah hasil kerja dua tahun oleh pihak berkuasa Perancis.

“Hasil ini adalah berita baik bagi kewangan umum dan keadilan fiskal di Perancis,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Belloubet berkata, penyelesaian berkenaan menunjukkan bahawa Perancis mempunyai penguatkuasaan ke atas sistem cukai yang adil.

“Ia adalah penyelesaian bersejarah bagi kewangan umum dan kerana ia menandakan pengakhiran era. Dengan membiasakan situasi di Perancis, penyelesaian ini memberi jawapan kepada permintaan rakyat bagi keadilan fiskal,” kata Darmanin.

Penyelesaian berkenaan muncul selepas Perancis dan sekutu Eropahnya mencari jalan untuk menyelesaikan pertikaian cukai dengan gergasi digital dari AS itu.

Google, seperti juga syarikat teknologi besar dari AS yang lain mempunyai ibu pejabat Eropahnya di Ireland yang mana kerajaan telah menetapkan kadar cukai korporat pada hanya 12.5 peratus dalam usaha untuk menarik syarikat besar.

Bagaimanapun, negara Kesatuan Eropah (EU) seperti Perancis berhujah bahawa langkah ini membenarkan gergasi teknologi mengelak daripada membayar cukai yang mencukupi ke atas untung besar dan jualan yang diperoleh di negara besar lain selain daripada negara ibu pejabat.

Parlimen Perancis pada Julai lalu meluluskan undang-undang percukaian gergasi digital ke atas operasi di Perancis dan ia mengundang kemarahan Presiden Donald Trump dan mengancam akan membalasnya.

Kerajaan Britain kini juga sedang merancang langkah yang sama dan dalam masa yang sama ia berharap dapat mengukuhkan hubungan dengan Washington selepas keluar daripada EU. -AFP

Berita Harian X