Jumaat, 13 September 2019 | 5:49pm

Program Digi My Digital memperkasakan PKS di Malaysia

KUALA LUMPUR: Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) melancarkan MY Digital SME, program bertujuan untuk melengkapkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan alat dan kemahiran yang memberi perniagaan mereka kehadiran dalam talian, serta membantu mereka melakukan persiapan rapi untuk pertumbuhan di luar Malaysia.

Dianjurkan dengan kerjasama SME Corp, Mahir Digital Bersama Google, AVANA Facebook Commerce, REV Asia dan Shopee, program ini direka untuk bengkel interaksi langsung, dan selepas menamatkan bengkel itu sepenuhnya, pemilik perniagaan dan usahawan boleh menjangkakan kehadiran perniagaan mereka dalam talian.

"Sehingga kini, lebih daripada 500 pemilik perniagaan tempatan dan usahawan telah mendapat manfaat daripada dua bengkel pertama yang diadakan di Ipoh dan Kota Bahru," kata penyedia perkhidmatan mudah alih dan penyedia perkhidmatan internet itu dalam kenyataan hari ini.

Dengan dua lagi bengkel dalam perancangan, Ketua Pegawai Perniagaan Digi, Eugene Teh percaya MY Digital SME akan memperkasakan lebih 1,000 PKS di Malaysia untuk melaksanakan pendigitalan perniagaan mereka, seterusnya meningkatkan pertumbuhan digital dalam segmen PKS.

"Antara sebab yang mendorong kami untuk menjalankan program ini, secara percuma, adalah untuk membantu PKS memanfaatkan pendigitalan dalam menjalankan perniagaan. Juga, terdapat banyak seminar bagi PKS yang membincangkan faedah-faedah pendigitalan, antaranya memberikan langkah-langkah praktikal bagaimana menjalankan perniagaan dalam talian," kata Teh.

Bersandarkan kepada rangkaian luas SME Corp dan pangkalan data PKS di seluruh negara, sokongan daripada rakan kongsi, menghasilkan program holistik yang merangkumi semua aspek untuk memperkukuhkan perniagaan secara digital.

Bengkel PKS My Digital seterusnya di negara ini akan diadakan di Kota Kinabalu pada (21 September) dan Kuching (5 Oktober). - BERNAMA

Berita Harian X