Isnin, 16 September 2019 | 1:53pm
KETUA Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

NAP 2019 dilaksanakan secara 3 fasa sehingga 2030

KUALA LUMPUR: Dasar Automotif Negara (NAP) 2019 yang bakal diumumkan kelak, akan dilaksanakan secara tiga fasa sehingga tahun 2030 dengan turut menekankan usaha menjadikan Malaysia pengeluar kenderaan hibrid dan cekap tenaga (EEV).

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari, berkata pelaksanaan fasa pertama sehingga 2023-2024 akan turut meliputi kesinambungan pelaksanaan NAP 2014 sebelum ini.

“Fasa pertama NAP 2019 akan memberi penekanan kepada penambahbaikan dasar dengan teknologi baharu termasuklah dari segi modal insan dan kecekapan tenaga pekerja.

“Pada masa sama, kita akan turut menggabungkan elemen lain yang boleh diterapkan dalam usaha menjadikan Malaysia pengeluar kenderaan hibrid serta kenderaan EEV,” katanya kepada BERNAMA.

Madani berkata, ini termasuk elemen seperti pengeluaran bateri, sistem pengurusan, stesen pengecas dan yang berkaitan manakala fasa berikutnya akan menitikberatkan aspek terkini seperti teknologi 5G.

Sejajar usaha itu, kata beliau, NAP 2019 juga bakal menyaksikan MARii mengubah fokus EEV kepada kenderaan generasi baharu atau NxGV.

Tumpu Kenderaan NxGV

Laporan media sebelum ini menyatakan definisi NxGV dalam NAP 2019 dijangka siap seawal 2022 dan pelaksanaannya bermula pada 2025.

Beliau berkata, perbezaan kenderaan EEV dan kenderaan NxGV adalah elemen kesalinghubungan atau ‘connectivity’ bagi menyuntik pengalaman pemanduan dalam kenderaan yang turut ditambah nilai dengan aspek lain.

Malah, penggunaan ciri kecerdasan buatan (AI) dalam kenderaan NxGV juga dapat menjana sektor baharu seperti perkhidmatan mobiliti, manakala penggunaan AI akan mendorong kepada pemanduan lebih selamat, cekap serta berprestasi tinggi.

“Aspek mobiliti sebagai satu perkhidmatan itu adalah sektor baharu yang tidak boleh diketepikan. Berikutan itu, ia memerlukan banyak aspek pengaturcaraan, IoT atau internet pelbagai benda dan yang berkaitan,” katanya.

Mobiliti sebagai satu perkhidmatan itu merujuk kepada usaha beralih daripada mod pengangkutan milikan sendiri kepada penyelesaian mudah alih, termasuk menggabungkan perkhidmatan penyedia pengangkutan awam dan swasta menerusi satu platform yang mengurus perjalanan dan membolehkan pengguna membayar perkhidmatan itu secara tunai atau dalam talian.

Madani berkata, seperti dinyatakan ahli teknologi, industri automotif adalah ‘induk atau teras segala industri’ kerana membabitkan sektor mekanikal, elektronik, kejuruteraan, kimia dan teknologi terkini.

“Atas alasan itulah kami amat maklum dan memahami hasrat Perdana Menteri Tun Dr Mahahtir Mohamad agar Malaysia memiliki kereta nasional (ketiga) baharu. Ini semua bagi memastikan industri automotif dapat memanfaatkan semua limpahan aktiviti ini,” katanya.

Definisi Kereta Nasional Baharu

Pada bulan lalu, Dr Mahathir berkata kereta nasional ketiga sewajarnya memiliki ciri-ciri hibrid yang mana pengeluar perlu beralih daripada enjin berasaskan petrol kepada hibrid serta elektrik.

Berikutan itu, NAP 2019 buat pertama kalinya meletakkan definisi kereta nasional dengan sasaran menjadikan teknologi dan kejuruteraan sebagai asas untuk lebih membangunkan negara, kata Madani.

“Menerusi NAP 2019, kita membuat definisi kereta nasional yang akan membabitkan enam kriteria iaitu majoriti atau pemegang utama ekuiti adalah rakyat Malaysia dan pendanaan oleh pihak swasta serta menggunakan 75 peratus bekalan rantaian domestik.

“Kriteria lain adalah ia perlu menggunakan 98 peratus pekerja tempatan, syarikat terbabit (di dalam projek) membuat penyelidikan dan pembangunan di Malaysia, mengambil langkah-langkah susulan kenderaan NxGV sebagai satu perkhidmatan serta penggunaan revolusi perindustrian 4.0” katanya.

Menurutnya, kriteria berkenaan terpakai kepada pengeluar kereta nasional sedia ada dan kereta nasional baharu yang sedang dalam peringkat pembangunan.

Beliau juga menyifatkan, kehadiran kereta nasional baharu itu akan lebih merancakkan perniagaan dalam kalangan vendor tempatan.

“Dalam sebuah kereta terdapat lebih 30,000 komponen dan 80 peratus daripadanya dibekalkan oleh vendor. Sehubungan itu, kereta nasional baharu ini bukan saja menambah nilai kepada kepakaran bidang ini malah turut membuka peluang kepada syarikat-syarikat tempatan,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X