X
Selasa, 17 September 2019 | 1:47pm

Singapura kekal antara pusat pertukaran asing utama dunia

SINGAPURA: Purata jumlah dagangan pertukaran asing (FX) harian Singapura mencecah paras tertinggi baharu sebanyak AS$633 bilion (RM2.64 trilion) pada April 2019, naik 22 peratus daripada AS$517 bilion (RM2.16 trilion) pada April 2016, demikian menurut Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS).

Republik itu mengekalkan kedudukannya sebagai antara pusat FX terbesar di peringkat global dan berada pada kedudukan ketiga dengan bahagian sebanyak 7.6 peratus daripada jumlah FX global pada April 2019.

Angka berkenaan dikeluarkan dalam ‘2019 Triennial Central Bank Survey’ daripada pasaran derivatif atas kaunter (OTC) dan FX global yang dijalankan oleh Bank for International Settlements (BIS).

“MAS gembira menyaksikan pertumbuhan kukuh yang berterusan dalam perolehan derivatif OTC dan FX Singapura dalam banyak mata wang,” kata Timbalan Pengarah Urusannya, Jacqueline Loh dalam kenyataan di sini.

“Ini adalah gambaran yang baik terhadap kepelbagaian peserta pasaran dalam ekosistem FX Singapura,” kata Loh.

Beliau berkata, peserta FX serantau dan global terus memperluaskan kedudukan serantau mereka di Singapura dan melabur dengan banyak dalam membina kemahiran dan infrastruktur dagangan mereka, termasuk dalam e-dagang FX.

“Kami menjangka pelaburan ini akan membuahkan hasil dalam jangka sederhana dan terus menambah baik landskap dagangan untuk peserta pasaran dan meningkatkan pengesanan harga, mudah tunai dan ketelusan dalam zon waktu Asia,” katanya.

Menurut MAS, pertumbuhan dalam pasaran FX Singapura meluas dalam mata wang pasaran sedang pesat membangun dan G10, mencerminkan kedudukan Singapura sebagai pusat kewangan antarabangsa yang pelbagai.

Lima mata wang dagangan utama di Singapura ialah dolar Amerika Syarikat (AS), yen Jepun, Euro, dolar Australia dan dolar Singapura, manakala jumlah dagangan meningkat antara 24 peratus dan 45 peratus, dengan pengecualian yen Jepun, yang mencatatkan penurunan dari segi jumlah sebanyak 4.0 peratus.

Dari segi instrumen FX, perolehan FX Swap dan Spot, masing-masing naik 26 peratus dan 35 peratus dalam tempoh dua kajian.

FX Option dan Currency Swap, masing-masing meningkat 9.0 peratus dan 6.0 peratus dari segi jumlah, manakala perolehan Forward merosot 6.0 peratus dari 2016 hingga 2019.

FX Swap menyumbang 53 peratus daripada purata perolehan harian, naik daripada 48 peratus pada 2016, diikuti Spot (24 peratus) dan Forward (15 peratus).

Pasaran derivatif kadar faedah OTC Singapura terus mencatatkan pertumbuhan yang kukuh, dengan purata jumlah harian meningkat 87 peratus kepada AS$109 bilion (RM455.6 bilion) pada April 2019, berbanding AS$58 bilion (RM242.43 bilion) pada April 2016.

Instrumen dagangan paling aktif di Singapura ialah dolar Australia (32 peratus), dolar AS (21 peratus), dan dolar Singapura (9.0 peratus) dari segi derivatif kadar faedah.

-BERNAMA

Berita Harian X