Selasa, 17 September 2019 | 2:24pm

Belanjawan 2020 mungkin masukkan pakej rangsangan mini

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2020 mungkin akan memasukkan pelan kontigensi bagi menangani kelembapan daripada perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China.

Pakej rangsangan fiskal mini itu boleh berjumlah sehingga RM3 bilion atau 0.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)), dan pada masa sama mungkin dalam bentuk perbelanjaan pembangunan lebih tinggi, kata RHB Research.

Firma penyelidikan itu berpendapat langkah itu akan meningkatkan sasaran defisit kepada 3.2 peratus daripada KDNK daripada tiga peratus.

Katanya dalam nota hari ini, langkah yang mungkin disenaraikan dalam pelan kontingensi, akan termasuk perlanjutan elaun pelaburan semula, geran dan jaminan kewangan bagi perusahaan kecil dan sederhana, perbelanjaan pembangunan lebih tinggi untuk merangsang aktiviti pembinaan dan perbelanjaan sosial lebih tinggi untuk membantu kumpulan B40.

“Kami percaya langkah berkenaan akan membantu menangani pelaburan swasta negara yang perlahan dan aktiviti perdagangan lemah,” katanya.

Firma penyelidikan itu mengulangi bahawa perbelanjaan pembangunan lebih tinggi kepada sehingga RM3 bilion dijangkakan di bawah pelan kontigensi itu, yang mungkin akan beri tumpuan pada projek pembinaan infrastruktur, dan pada masa sama memudahkan perdagangan dan industri untuk membolehkan penempatan semula dan mempelbagaikan perdagangan di tengah-tengah perang perdagangan.

Ini berserta dengan menaik taraf bangunan awam dan peralatan di sekolah, hospital dan universiti yang sedia ada, serta perbelanjaan sosial lebih tinggi untuk membantu kumpulan B40.

“Projek infrastruktur baharu seperti lebuh raya Pan Island Link 1 (PIL1) dan transit aliran ringan (LRT) di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) RM46 bilion mungkin diumumkan dalam belanjawan itu.

“Semua peningkatan perbelanjaan fiskal ini mungkin meningkatkan jumlah perbelanjaan pembangunan kasar kepada RM58 bilion, dan dicampur dengan potongan cukai dan elaun, ia dijangka meningkatkan lagi defisit fiskal kepada RM52 bilion atau -3.2 peratus daripada KDNK,” kata RHB Research.

Dalam perkembangan berasingan, RHB Research berkata kadar cukai pendapatan korporat mungkin diturunkan di bawah pelan kontigensi yang disebut Menteri Kewangan Lim Guan Eng, untuk menangani kesan daripada perang perdagangan AS-China.

Ia berkata, kadar cukai pendapatan korporat Malaysia ketika ini pada 24 peratus bagi syarikat dan kekal pada kadar itu sejak 2014.

Sementara itu, kerajaan telah membayangkan kemungkinan tidak memperkenalkan langkah cukai baharu untuk Belanjawan 2020 selepas melaksanakan beberapa cukai baharu – antara lain seperti kenaikan cukai permainan, gula, digital dan hartanah, pada Belanjawan 2019.

“Ini kerana ekonomi mungkin berdepan cabaran lebih sukar pada 2020, dengan perang perdagangan AS-China kian memuncak dan persekitaran pertumbuhan global lebih perlahan.

“Berdasarkan cabaran itu, menteri kewangan berkata Malaysia akan mendapati adalah mencabar untuk mencapai sasaran defisit fiskal tiga peratus pada 2020,” kata RHB Research.

Katanya, sehubungan itu, Malaysia perlu bersedia untuk menghadapi kesan daripada perang perdagangan pada tahun depan.

“Ini mungkin petunjuk bahawa kerajaan bersedia untuk menangguhkan langkah penyepaduan fiskal yang sedang dijalankan dan membolehkan defisit belanjawan meningkat lebih tinggi daripada sasaran tiga peratus daripada KDNK GDP bagi 2020, seperti ditetapkan dalam kerangka fiskal penggal pertengahan 2019-2021,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X