Selasa, 17 September 2019 | 4:47pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto Reuters
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto Reuters

Malaysia perlu laksana dasar perindustrian semula

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu menangani proses nyah-industrialisasi atau ‘deindustrialisation’ pra-matang dengan menjalankan dasar perindustrian semula untuk menjadi sebuah negara perindustrian dan ekonomi berpendapatan tinggi.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan mempunyai peranan besar dalam hal ini kerana negara mengalami proses nyah-industrialisasi terlalu awal dan terlalu pantas sejak 2000.

Beliau berkata, pada 2018, sektor pembuatan hanya merangkumi 21.6 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu 9.3 mata peratusan lebih rendah berbanding 2000.

Katanya, dalam subsektor pembuatan berteknologi tinggi, kesan nyah-industrialisasi pra-matang adalah lebih hebat dengan anggaran menunjukkan bahawa peranan subsektor itu telah berkurangan daripada 15.3 peratus berbanding KDNK pada 1999 kepada hanya 7.9 peratus pada 2016.

“Sektor perkhidmatan tradisional dengan nilai tambah rendah sedang berkembang pesat, manakala pertumbuhan perkhidmatan dengan nilai tambah tinggi adalah kurang memberangsangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada perbincangan kumpulan fokus Belanjawan 2020 untuk industri elektrik dan elektronik di Taman Teknologi Tinggi Kulim.

Guan Eng berkata, apa yang memburukkan lagi keadaan adalah pertambahan kebergantungan Malaysia kepada sektor intensif buruh berkos rendah.

“Ini menyumbang kepada penurunan pertumbuhan produktiviti. Dalam tempoh 1985 hingga 1996, produktiviti negara telah berkembang 3.9 peratus secara purata setahun. Dalam tempoh 2011 hingga 2016 pula, ia tumbuh pada kadar 2.5 peratus setahun.

“Kerajaan bertanggungjawab untuk membantu meningkatkan pelaburan dalam Malaysia dan memperbaiki kedudukan negara dalam rantai bekalan global.

“Campur tangan kerajaan diperlukan untuk memperhebat daya saing nasional, menaikkan produktiviti, menyaring pelaburan dalam sektor strategik, menjalankan semula industrialisasi berdasarkan eksport dan menyusun semula insentif ke arah sasaran politik menggalakkan keusahawanan,” katanya.

Bagaimanapun, Guan Eng berkata ia tidak bermakna kerajaan tidak meletakkan kepercayaan kepada dasar pasaran bebas.

Katanya, dasar pasaran bebas dipegang selagi ia adalah adil, liberalisasi perdagangan diperlukan selagi negara kurang maju mendapat peluang untuk bersaing secara adil.

“Liberalisasi kewangan katanya perlu melindungi pemegang saham minoriti daripada spekulator dan oportunis.

“Jaring keselamatan perlu diwujudkan dan dipelihara untuk melindungi mereka yang tidak mendapat manfaat daripada dasar liberalisasi kerana kita tidak boleh hidup dalam dunia ‘zero-sum game’,” katanya.

Dasar perindustrian Malaysia telah membuahkan hasil apabila pada 1987, sektor pertanian merangkumi 20.0 peratus daripada ekonomi Malaysia tetapi pada 2000, hanya 8.6 peratus ekonomi Malaysia terdiri daripada sektor berkenaan.

Pada masa yang sama, sektor pembuatan telah mengambil alih peranan pertanian dan ini dapat diperhatikan apabila peranan sektor pembuatan telah meningkat kepada 30.9 peratus daripada 19.8 peratus.

Berita Harian X