Khamis, 19 September 2019 | 4:48pm
Khalid menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Bandar Raya Lestari Bertaraf Dunia (WCSC) 2019 di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Rohanis Shukri

Kuala Lumpur bandar raya lestari bertaraf dunia 2040

KUALA LUMPUR: Kerajaan merancang menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya lestari bertaraf dunia menjelang 2040 menerusi Pelan Struktur KL dan Pelan Bandar KL 2040.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata bagi merealisasikan rancangan itu, semua pandangan dan kerjasama pelbagai pihak diperlukan dari segi perancangan supaya setiap pembangunan dapat dilaksanakan dengan teratur.

“Kita memerlukan pandangan untuk dibahaskan dalam usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya lestari terkemuka antarabangsa dalam tempoh 20 tahun akan datang.

“Apa yang penting, mulai sekarang adalah menentukan pembangunan di Kuala Lumpur tidak dilakukan secara radikal tanpa ada sebarang pandangan dan perbincangan yang dikemukakan untuk mendapatkan hasil yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata kepada media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Bandar Raya Lestari Bertaraf Dunia (WCSC) 2019 di sini, hari ini.

Khalid berkata, pembangunan tersusun di Kuala Lumpur mampu menjadikannya sebagai bandaraya lestari, maju dan menawarkan kualiti hidup terbaik, selain menyediakan peluang pekerjaan, perumahan dan pengangkutan awam yang berkesan.

“Kesilapan dalam membangunkan Kuala Lumpur jika berlaku, adalah terlalu mahal untuk diperbetulkan. Sehubungan itu, kita memerlukan pelan yang holistik supaya apa yang dibangunkan mengikut ketetapan yang diperlukan,” katanya.

Sementara itu, WCSC dengan tema ‘NEXT: KL2040’ adalah platform terbaik untuk membolehkan Kuala Lumpur dan beberapa bandar di Malaysia mendepani cabaran ke arah menjadi bandaraya lestari bertaraf dunia dan menjadi pilihan untuk diduduki.

Persidangan yang membawa ahli panel dari serata dunia termasuk Malaysia, Belanda, Australia dan Singapura itu dianjurkan secara bersama oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Kuala Lumpur, Institut Perancangan Malaysia (MIP) dan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM).

Mengenai isu kediaman mampu milik di Kuala Lumpur, Khalid berkata, ia penting untuk diberikan penekanan kerajaan supaya rakyat yang bekerja di bandar raya itu dapat memiliki kediaman di kawasan sekitar pada harga berpatutan.

“Harga mampu milik bagi kediaman kekal di bawah RM300,000. Kita berharap rakyat yang bekerja di bandar ini dapat memiliki kediaman dan ia dapat direalisasikan apabila pihak institusi kewangan juga memainkan peranan.

“Jika ramai yang bekerja di Kuala Lumpur mampu memiliki kediaman di sini, ia pasti dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menawarkan kehidupan yang lebih baik kepada mereka,” katanya.

Berita Harian X