Jumaat, 20 September 2019 | 5:53pm

MRT SSP Line 58.9 peratus disiapkan

KUALA LUMPUR: Keseluruhan kemajuan bagi pembinaan Projek Transit Aliran Massa Jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (MRT SSP Line) telah mencapai 58.9 peratus siap setakat 31 Ogos 2019, kata MMC Gamuda KVMRT (FDP SSP) Sdn Bhd.

Pengurus Projek bagi Pakej Kerja V205, Dr Tey Chun Yean, berkata fasa pertama dari Stesen Sungai Buloh ke Stesen Kampung Batu akan siap menjelang Julai 2021, manakala fasa kedua dari Stesen Kampung Batu ke Stesen Putrajaya Sentral dijadual beroperasi menjelang Julai 2022.

“Jajaran MRT Sungai Buloh–Kajang dan MRT SSP Line yang akan siap tidak lama lagi adalah tambahan hebat bagi sistem pengangkutan di Lembah Klang,” katanya pada taklimat media mengenai kaedah pembinaan MRT SSP Line.

Selain itu, beliau berharap kerajaan akan meningkatkan perbelanjaan dalam penyelenggaraan dan projek infrastruktur awam bagi mengurangkan kebergantungan orang ramai terhadap mod pengangkutan peribadi.

Beliau juga berharap, kerajaan akan mempertimbangkan MRT Line 3 pada masa akan datang, yang akan menyediakan sistem bulatan dan meningkatkan kesalinghubungan untuk kediaman di Lembah Klang.

Sementara itu beliau berkata, kaedah penegakan rentang panjang digunakan dalam pembinaan MRT SSP Line yang menyeberangi Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, Lebuhraya Besraya dan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Timbalan Pengarah Projek (Bahagian Bertingkat), Amir Malik Faeiz, berkata rentang panjang ditakrifkan sebagai rentang yang melebihi 40 meter panjang dan biasanya digunakan untuk menyeberangi lebuh raya, landasan kereta api ataupun sungai-sungai yang luas.

“Terdapat tiga rentang panjang di penjajaran lokasi untuk pakej kerja V205 yang meregang ke arah jalan raya yang sibuk dengan kekangan ruang dan aksesibiliti, kami menggunakan tiga variasi kaedah ‘Balanced Cantilever (BC)’ untuk memastikan kecekapan hasil pembinaan dan dengan kesan yang minimum,” tambahnya.

Merangkumi jarak 52.2 kilometer dengan jumlah 35 stesen yang akan dibina, MRT SSP Line bertujuan menyediakan kemudahan di koridor itu yang mempunyai penduduk sekitar dua juta.

Jajaran itu akan menghubungkan Sri Damansara, Kepong, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Razak, KLCC, Kuchai Lama, Seri Kembangan dan Cyberjaya. - BERNAMA

Berita Harian X