Isnin, 23 September 2019 | 2:45pm

Momentum eksport Malaysia di Asia Tenggara baik - ICAEW

KUALA LUMPUR: Momentum eksport Malaysia di Asia Tenggara adalah baik, demikian menurut Laporan Ekonomi: Asia Tenggara terbaru dikeluarkan Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW).

Momentum itu, katanya mencerminkan nyahpecutan lebih sederhana dalam pertumbuhan eksport dan daya tahan permintaan domestik, berbanding pertumbuhan ekonomi yang lebih bergantung pada perdagangan seperti Singapura, Thailand dan Filipina yang menyaksikan momentum lebih perlahan pada suku kedua 2019.

“Bagaimanapun, di sebalik prestasi baik ekonomi Malaysia setakat ini, Bank Negara Malaysia dijangka menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas (bp) pada Disember, dengan pengurangan 25 bp lagi pada suku pertama 2020.

“Ini dengan syarat bahawa kerajaan akan terus memberi tumpuan pada penyelarasan fiskal dalam belanjawan akan datang yang akan dibentangkan pada 11 Oktober, 2019,” menurut laporan itu.

Katanya, pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh di rantau itu pada separuh pertama 2019 lebih perlahan kepada empat peratus berbanding 4.5 peratus pada separuh kedua 2018, disebabkan kesan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, permintaan domestik China lebih perlahan dan penurunan kitaran elektronik global.

Penasihat Ekonomi ICAEW dan Ketua Pakar Ekonomi bagi Asia dan Ekonomi Oxford, Sian Fenner berkata: “Di tengah-tengah cabaran dan ketidaktentuan ekonomi global ketika ini yang menyelubungi perbincangan perdagangan AS-China, kami jangka melihat kemerosotan prospek ekonomi di rantau ini, terutamanya dalam kalangan ekonomi yang lebih bergantung kepada perdagangan.”

Secara keseluruhannya, pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) rantau asia tenggara dijangka menyederhana kepada 4.5 peratus tahun ini, di tengah-tengah satu lagi pusingan sekatan tarif dan perdagangan oleh AS dan China dengan KDNK akan stabil pada kadar sama pada 2020. - BERNAMA

Berita Harian X