Isnin, 23 September 2019 | 7:49pm

'Isi rumah B40, M50 hadapi kekangan untuk berbelanja'

KUALA LUMPUR: Analisis terkini Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mendapati tidak semua golongan B40 di negara ini memerlukan bantuan sosial yang sama dalam menikmati taraf hidup yang lebih baik.

Analisis itu juga mendapati, isi rumah 50 peratus isi rumah berpendapatan pertengahan (M50) pula berdepan kekangan dalam membuat keputusan untuk berbelanja membabitkan barangan keperluan asas dan barangan keperluan lain.

Penyelidik Kanan KRI, Hawati Abdul Hamid, berkata dengan menggunakan perangkaan pendapatan dan penggunaan isi rumah 2014, pihaknya mendapati isi rumah B20 adalah kumpulan yang hanya mampu membeli barangan keperluan asas seperti makanan, rumah dan pakaian.

Beliau berkata, pihaknya mendapati golongan M50 juga masih berdepan kekangan untuk berbelanja, terutama jika mereka berdepan situasi kecemasan yang tidak dijangka.

Katanya, ia menyebabkan golongan berkenaan terpaksa mengorbankan perbelanjaan keperluan lain untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

“Justeru, isi rumah B20 lebih memerlukan bantuan kebajikan secara langsung seperti bantuan tunai dan subsidi.

“Sementara, isi rumah M50 pula tidak memerlukan bantuan tunai seperti Bantuan Sara Hidup (BSH) tetapi lebih kepada memperkasa dan memperluas akses terhadap  peluang untuk menambah pendapatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas perbincangan bertajuk

“Penandaan Isi RUmah: Satu Analisis Bersepadu Pendapatan dan Perbelanjaan” di sini, hari ini.

Kertas perbincangan itu ditulis secara bersama oleh Hawati; Penyelidik KRI, Gregory Ho Wai Son dan Pengarah Penyelidik KRI, Dr Suraya Ismail.

Ia mencadangkan definisi semasa isi rumah bagi B40, M40 dan T20 boleh diperincikan lagi.

Perincian mendalam boleh dibuat dengan menggunakan pendapatan boleh guna atau bersih dalam mengukur kebajikan isi rumah dengan mengambil kira perbezaan pendapatan dalam lokasi berbeza dan mengambil kira saiz isi rumah untuk membezakan standard kehidupan yang lebih baik.

Mengulas lanjut, Hawati berkata, dengan memperhalusi klasifikasi isi rumah B40 membolehkan bantuan dan subsidi yang akan disalurkan oleh kerajaan benar-benar sampai kepada khalayak sasaran.

Beliau berkata, dalam konteks miskin atau memastikan standard kehidupan minimum dicapai, definisi B40 semasa terlalu besar liputannya kerana sebahagian besar mereka yang berada dalam kumpulan B40 mungkin tidak memerlukan jenis bantuan yang sama dengan mereka yang miskin.

Berita Harian X