Selasa, 24 September 2019 | 4:14pm
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee (tengah) pada Sidang media DPMM. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee (tengah) pada Sidang media DPMM. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Petugas khas perkasa Bumiputra di bidang peruncitan, pengedaran

KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) akan menubuhkan pasukan petugas khas yang akan memfokuskan agenda memperkasakan usahawan Bumiputra dalam bidang peruncitan dan pengedaran.

Presidennya, Datuk Seri Syed Hussien AlHabshee, berkata kegagalan usahawan Bumiputra dalam bidang peruncitan dan pengedaran sudah lama berpanjangan walaupun memiliki produk berkualiti tinggi termasuk dari segi pakej, kualiti produk dan standard antarabangsa.

Justeru, katanya, DPMM berpendapat antara usaha yang boleh dilakukan adalah menggalakkan usahawan Melayu menumpukan pelanggan industri penyedia perkhidmatan makanan seperti hotel, restoran, gerai makanan dan katering.

“Orang fikir hal ini remeh tapi kena ingat jumlah keseluruhan kepenggunaan di negara ini kira-kira RM160 bilion yang mana 80 peratus daripadanya pengguna Melayu yang menyumbangkan pembangunan ekonomi negara, namun sebahagian besar peruncitan dan pengedaran ini tidak dikawal Melayu.

“Jika kita tengok kempen #BuyMuslimFirst hanya menggalakkan pengguna membeli daripada kedai peruncitan sedangkan industri penyedia perkhidmatan makanan seperti hotel, restoran, gerai makanan dan katering adalah pengguna (produk makanan) yang lebih tinggi.

“Kita kurang penyertaan dalam pembekalan yang besar ini, maka kita nak galakkan usahawan menumpukan kepada pelanggan hotel, restoran, gerai makanan dan katering yang menempah dalam jumlah banyak supaya usahawan dapat skala ekonomi yang diperlukan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, cadangan meningkatkan aktiviti peruncitan dan pemborongan itu antara inisiatif memperkasakan ekonomi Bumiputra yang dimuatkan DPMM dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Julai lalu.

Katanya, antara lain yang dibincangkan dalam pertemuan itu adalah dengan mencadangkan kerjasama DPMM dengan agensi dalam program pembangunan usahawan di negara ini, dan pemerkasaan usahawan dalam sektor pertanian bagi melangkaui orang tengah.

Berita Harian X