Rabu, 25 September 2019 | 2:11pm
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

MITI harap lebih banyak dana bagi PKS dalam Belanjawan 2020

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berharap kerajaan akan memperuntukkan lebih banyak dana untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam Belanjawan 2020 untuk membantu mereka melaksanakan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).

Timbalan Menterinya, Dr Ong Kian Ming berkata kementerian sudah mengemukakan permintaan itu kepada Kementerian Kewangan.

“Selain itu, kami (turut) berharap untuk mempunyai lebih banyak insentif yang diselaraskan terutamanya untuk menarik lebih banyak pelaburan langsung asing berikutan konflik AS-China,” katanya kepada pemberita di luar Seminar Industry4WRD Grant Thornton Malaysia di sini hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, Ong berkata sehingga 21 September 2019, lebih 600 syarikat memohon Penilaian Kesediaan Industry4WRD (Industry4WRD-RA) dan sebanyak 133 syarikat yang layak.

Industry4WRD adalah dasar negara berhubung Industri 4.0 yang dilancarkan pada 31 Oktober 2018, manakala Industry4WRD-RA adalah proses yang memerlukan syarikat menilai keupayaan dan kesediaan mereka untuk melaksanakan Industri 4.0.

"Kami masih menilai yang lain untuk melihat sama ada mereka layak, dan mahu memperluaskan Industry4WRD-RA kepada seberapa banyak syarikat yang layak secepat mungkin supaya dapat mencapai sasaran sebanyak 500 syarikat," kata Ong, sambil menambah kementerian berharap dapat menyaksikan sasaran itu dicapai pada akhir tahun.

Grant Thornton Malaysia menjalankan seminar separuh hari berhubung Industry4WRD, disokong MITI untuk orang ramai memahami inisiatif kerajaan dan insentif cukai bagi industri pembuatan untuk menyokong IR 4.0.

Seminar itu membincangkan topik seperti Dana Strategik Pelaburan Domestik yang dijalankan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Penyelesaian Pembiayaan untuk Industry4WRD oleh Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) dan insentif cukai untuk IR 4.0 oleh Grant Thornton Malaysia. - BERNAMA

Berita Harian X