Isnin, 30 September 2019 | 3:28pm
PENGERUSI Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Al-Ishsal Ishak menyampaikan taklimat projek demonstrasi 5G di Cyberjaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah
PENGERUSI Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Al-Ishsal Ishak menyampaikan taklimat projek demonstrasi 5G di Cyberjaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Demonstrasi kegunaan 5G disertai lapan syarikat

CYBERJAYA: Malaysia bakal menyaksikan demonstrasi bagi kes-kes kegunaan 5G bermula Oktober 2019 membabitkan anggaran pelaburan RM116 juta daripada lapan syarikat.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Al-Ishsal Ishak, ia sejajar aspirasi kerajaan untuk mempercepatkan pelaksanaan 5G bagi perniagaan merentasi pelbagai industri seperti pelancongan, penjagaan kesihatan dan pertanian.

Beliau berkata, demonstrasi itu membabitkan 32 tapak 5G di enam negeri iaitu Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur akan beroperasi untuk tempoh selama enam bulan, dengan 55 kes kegunaan 5G membabitkan sembilan vertikal.

Vertikal itu ialah pertanian; pendidikan; hiburan/media; penjagaan kesihatan digital; pemprosesan dan pembuatan; minyak dan gas; bandar pintar; pengangkutan pintar; dan pelancongan.

“Projek-projek demonstrasi 5G akan tertumpu pada usaha untuk memupuk pembangunan sebuah ekosistem 5G yang holistik dan inklusif di dalam negara dalam usaha bagi merangsang permintaan serta penggunaan teknologi 5G bagi perniagaan dan pengguna.

“Kami berharap sebahagian daripada kes kegunaan 5G dapat dikomersialkan bermula suku ketiga 2020,” kata Al-Ishsal pada taklimat projek demonstrasi 5G itu di sini, hari ini.

Al-Ishsal berkata, antara kes kegunaan yang dimaksudkan ialah lampu isyarat pintar; parkir pintar; diagnosis jarak jauh; pelancongan perubatan; perundingan perubatan jarak jauh; pertanian pintar; realiti terimbuh untuk pendidikan; penjejakan kenderaan, serta ‘5G 360 Degree Panoramic Live Video Surveillance’.

“Sokongan teguh dan pelaburan daripada syarikat yang mengambil bahagian membuktikan komitmen pihak industri dalam mewujudkan penggunaan kukuh untuk aplikasi 5G berdaya maju yang akan memberi impak positif kepada taraf hidup rakyat Malaysia.

“MCMC berharap agar kes-kes kegunaan ini dapat menarik lebih banyak pelaburan ke dalam pembangunan 5G di Malaysia serta cadangan-cadangan unutk memperhebatkan kesalinghubungan di negeri lain di seluruh negara,” katanya.

Berita Harian X