Isnin, 30 September 2019 | 5:27pm
TIMBALAN Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming (dua dari kanan) bersalaman bersama Pengurus Negara, Hab Pengetahuan dan Penyelidikan Global Kumpulan Bank Dunia di Malaysia, Dr. Firas Raad (dua dari kiri) selepas melancarkan 'Belt and Road Economics Report' di Suasana Kijang. Hadir sama Ketua Ekonomi, Kumpulan Bank Dunia, Dr. Michele Ruta (kanan) dan Ketua Ekonomi Malaysia, Kumpulan Bank Dunia, Dr. Richard Record. - Foto Mustaffa Kamal
TIMBALAN Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming (dua dari kanan) bersalaman bersama Pengurus Negara, Hab Pengetahuan dan Penyelidikan Global Kumpulan Bank Dunia di Malaysia, Dr. Firas Raad (dua dari kiri) selepas melancarkan 'Belt and Road Economics Report' di Suasana Kijang. Hadir sama Ketua Ekonomi, Kumpulan Bank Dunia, Dr. Michele Ruta (kanan) dan Ketua Ekonomi Malaysia, Kumpulan Bank Dunia, Dr. Richard Record. - Foto Mustaffa Kamal

ECRL model pembiayaan mapan projek BRI

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) boleh menjadi model pembiayaan yang mapan bagi pelaksanaan projek di bawah Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) China, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming.

Beliau berkata, ECRL adalah kes kajian yang menarik bukan saja bagi Malaysia, malah di peringkat global dalam mencari kaedah mapan untuk menjadikan projek BRI boleh diuruskan dari segi kewangan dan mengekang risiko jangka panjang.

Katanya, pelaksanaan semula ECRL dilaksanakan menerusi rangka kerja baharu membabitkan pemahaman bagaimana projek itu boleh dibiayai dan mapan dalam jangka panjang.

Jelasnya, pelaksanaan semula projek itu memperlihatkan kontraktor yang terbabit bukan saja menjadi kontraktor turnkey, tetapi juga bertanggungjawab membina infrastruktur keseluruhannya.

“Sebagai tambahan, terdapat juga tanggungjawab untuk membangunkan pembangunan berorientasikan transit untuk stesen di sepanjang laluan ECRL.

“Justeru, keseluruhan ekosistem dari segi kargo barangan dan penumpang digunakan sepenuhnya dapat dipertingkatkan,” katanya pada pelancaran "Belt and Road Economics Report - Opportunities and Risks of Transport Corridors oleh Bank Dunia di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Negara bagi Hab Penyelidikan dan Pengetahuan Global Kumpulan Bank Dunia di Malaysia, Dr Firas Raad.

Kian Ming berkata, dalam memastikan pembangunan kapasiti dan dasar pelengkap dilaksanakan, ia bukan saja projek turnkey membabitkan pemegang kepentingan yang berbeza, malahan menyediakan ekosistem tepat untuk pelaburan dan perdagangan.

Beliau berkata, pembangunan ekosistem yang tepat untuk pelaburan dalam taman perindustrian dan perdagangan akan menarik perniagaan baharu.

April lalu, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) memeterai perjanjian tambahan (SA) yang membolehkan projek ECRL yang ditangguhkan sebelum ini, disambung semula.

Di bawah perjanjian baharu, kos pembinaan bagi Fasa 1 dan 2 ECRL akan disambung semula pada harga RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada unjuran asal sebanyak RM65.5 bilion.

Sebaik ECRL siap dijangka pada 2026, ia akan memacu pembangunan ekonomi, logistik, perdagangan dan pelancongan dan menjadi pemain penting dalam memajukan lagi ekonomi dan pembangunan sosial Malaysia.

Sementara itu, Ahli Ekonomi Bank Dunia, Dr Michele Ruta, berkata pembaharuan dasar pelengkap adalah penting untuk negara terbabit dengan projek BRI meraih manfaat sepenuhnya.

Beliau berkata, pendapatan benar bagi ekonomi BRI boleh menjadi dua hingga empat kali ganda lebih besar jika kemudahan perdagangan ditingkatkan dan halangan perdagangan dikurangkan.

Berita Harian X