Ahad, 6 Oktober 2019 | 5:45pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama, Menteri Dalam Negeri merangkap Pengerusi Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) serta Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kiri). - NSTP/Syarafiq Abd Samad

'Nilai KDNK diukur mengikut harga malar'

KUALA LUMPUR: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perlu berkembang pada harga malar 4.7 peratus setahun bagi tempoh 2018 hingga 2030 dengan kadar inflasi purata 2.3 peratus dalam tempoh berkenaan, bagi mencapai sasaran nilai KDNK RM3.4 trilion pada 2030.

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi berkata, dalam kata lain, sasaran nilai KDNK RM3.4 trilion itu boleh dicapai dengan pertumbuhan purata pada harga nominal sebanyak tujuh peratus setahun bagi tempoh 2018 hingga 2030.

“Dokumen Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 jelas membezakan angkubah mengikut kedua pengukuran berkenaan.

“Ini selari dengan kenyataan yang dibuat oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi sejurus selepas pelancaran WKB 2030 semalam,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu menjelaskan pengiraan saiz KDNK sebanyak RM3.4 trilion itu adalah pada harga nominal atau semasa yang mengambil kira kesan inflasi.

Kementerian itu berkata, dalam menjelaskan sasaran pertumbuhan KDNK yang dinyatakan di dalam WKB 2030, adalah penting untuk memahami dua konsep iaitu ukuran KDNK dalam harga nominal/harga semasa (current prices) dan harga malar/harga tetap (constant prices).

“Manakala pengukuran yang sama dalam harga malar (atau dalam harga tetap) tidak mengambil kira kesan kadar inflasi dan oleh itu, mencerminkan peningkatan dalam nilai ditambah/output sebenar.

“Lazimnya, nilai KDNK dinyatakan dalam harga nominal manakala kadar pertumbuhan KDNK dinyatakan dalam harga malar,” katanya.

WKB 2030 adalah hala tuju baharu negara bagi menangani pelbagai cabaran yang dihadapi dalam tempoh dekad yang akan datang.

Kenyataan itu menambah, adalah penting untuk semua pihak menggembleng tenaga dan memberi tumpuan ke arah satu objektif yang sama supaya semua lapisan masyarakat akan beroleh kemakmuran dan kejayaan yang dinanti-nantikan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum itu mempersoalkan WKB 2030 dengan berkata bahawa pengiraan Putrajaya dalam menyasarkan nominal RM3.4 trilion KDNK pada 2030 adalah salah.

Najib berkata, KDNK perlu berkembang dalam anggaran 7.36 peratus setahun untuk mencapai sasaran berkenaan.

Ini kerana, katanya KDNK untuk tahun 2018 adalah RM1.45 trilion dan pada kadar 4.7 peratus, beliau berkata KDNK hanya akan berjumlah RM2.53 trilion menjelang 2030.

Berita Harian X