Isnin, 7 Oktober 2019 | 9:46am

Bantuan kerajaan bagi PKS patut diletakkan di bawah MED

KUALA LUMPUR: Bantuan kerajaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) patut diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) untuk membolehkan pemantauan berterusan dilakukan terhadap prestasinya.

Presiden Persatuan PKS Malaysia, Datuk Michael Kang Hua Keong, berkata ini akan membolehkan PKS Malaysia mencapai tahap yang lebih tinggi.

"Inilah bagaimana ia dilakukan di Korea Selatan, di bawah Kementerian PKS dan Syarikat Pemula Niaga di negara itu.

"Matlamat utama adalah untuk mengukuhkan daya saing dan menyokong inovasi oleh perusahaan mikro dan PKS, dan berkisar berhubung dasar kerajaan dalam menggalakkan pertumbuhan perniagaan, memajukan syarikat pemula niaga dan menyokong perusahaan mikro," katanya kepada BERNAMA.

Dengan menjadikannya sebagai pusat, kerajaan dapat dengan mudah melancarkan program untuk membantu sektor PKS yang berbeza dan memantau hasilnya, katanya.

Sementara itu, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Malaysia Bhd (SME Bank), Aria Putera Ismail, berkata usahawan perlu mengambil bahagian dalam program bimbingan dan latihan keusahawanan untuk memastikan kemampanan perniagaan mereka.

"Mereka harus menjalankan penyelidikan untuk memahami keperluan pasaran, untuk mengetahui pesaing dan selaras dengan arah aliran semasa.

"Banyak perniagaan yang berjaya meneruskan perniagaan mereka kerana pemiliknya menjalankan penyelidikan pasaran secara tetap," katanya.

Aria berkata, pengurusan kewangan juga adalah satu daripada tanggungjawab PKS yang paling penting kerana kebanyakan syarikat mengalami kerugian dan aliran tunai negatif semasa tempoh permulaan perniagaan mereka.

"Pengurusan kewangan adalah berkaitan mencari sumber dana yang sepatutnya dengan kos paling rendah, mengawal modal syarikat dan tidak membiarkan imbangan lembaran menjadi terlalu tinggi dengan hutang yang akan memberi kesan buruk terhadap penarafan kreditnya," katanya.

Berhubung transformasi PKS berdasarkan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0), Aria berkata Platform Digital PKS Kebangsaan - inisiatif dipelopori SME Bank - bertujuan merevolusikan cara usahawan PKS disokong dan dibangunkan.

"Akses kepada isu pembiayaan akan ditangani melalui inisiatif ScoreXcess, satu daripada komponen Platform Digital PKS Kebangsaan.

"Ia akan diselaraskan dan mengagihkan dana dan pembiayaan yang disediakan oleh agensi kerajaan," kata Aria.

Pada 25 September Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengemukakan harapannya dalam Belanjawan 2020 kepada kerajaan, meminta kerajaan memperuntukkan lebih banyak dana untuk PKS bagi meningkatkan pembabitan sektor itu dalam IR 4.0.

Ketika ini, majoriti PKS menghadapi cabaran yang menghalang mereka untuk melaksanakan penerapan IR 4.0, seperti kekurangan bakat, pengetahuan, kestabilan kewangan dan sumber yang sesuai, kata Kang.

"Sehubungan itu, adalah penting bahawa kerajaan kita mengenal pasti keperluan ini dan memenuhinya untuk mencapai pertumbuhan yang lebih tinggi," katanya.

Sumbangan PKS kepada keluaran dalam negara kasar negara berkembang sebanyak 38.3 peratus kepada RM521.7 juta pada 2018 daripada RM491.2 juta tahun sebelumnya.

Berhubung Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada 11 Oktober, Kang berkata Persatuan PKS berharap kerajaan akan menubuhkan institut pinjaman khas untuk membiayai perniagaan PKS dan syarikat pemula niaga.

"PKS masih memerlukan bantuan kewangan daripada kerajaan seperti pinjaman tanpa cagaran dan kadar faedah rendah antara dua hingga empat peratus.

"Bank perdagangan dan syarikat swasta tidak akan dapat melakukan itu untuk membantu PKS, sehubungan itu kita memerlukan kerajaan untuk melakukannya," katanya.

Kang juga menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan memberi insentif cukai khas untuk PKS untuk pelaburan dan membantu mereka menceburi ekonomi digital. - BERNAMA

Berita Harian X