Isnin, 7 Oktober 2019 | 11:47am
MENTERI Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (dua, kiri) bersama Ridzuan (kiri) ketika hadir di Forum Megatrends Khazanah. - Foto NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Khazanah akan kurangkan lagi hutang kepada RM35 bilion ke RM40 bilion

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dijangka akan mengurangkan lagi nilai tanggungan hutangnya kepada antara RM35 bilion hingga RM40 bilion menerusi penjualan aset, dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata Khazanah kini sedang mengenal pasti aset strategik untuk dijual dan hasil yang diperoleh daripada penjualan itu akan dilaburkan semula dalam aset berpotensi lain.

"Proses penjualan aset adalah perkara biasa dalam perniagaan bukan hanya bagi Khazanah tetapi juga syarikat lain seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB).

"Meskipun proses penjualan aset dilakukan, ia perlu dibuat berdasarkan prestasi pasaran dan masa yang tepat bagi memastikan ia boleh menjana keuntungan kepada Khazanah seterusnya berupaya menawarkan dividen lebih baik kepada kerajaan," katanya selepas menyampaikan ucaptama di Forum Megatrends Khazanah, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Khazanah berjaya mengurangkan nilai tanggungan hutang kepada RM47 bilion daripada RM55 bilion dalam tempoh setahun melalui penjualan aset dan pelaburan.

Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza dipetik sebagai berkata dalam tempoh itu juga, syarikat pelaburan strategik negara itu telah berjaya menjana pendapatan sebanyak RM9 bilion serta dijangka kembali pulih dan mampu menjana potensi pendapatan berjumlah RM5 bilion tahun ini.

Mohamed Azmin berkata, dalam tempoh 10 tahun lalu, Khazanah sudah menjual lebih 100 aset yang bernilai kira-kira RM65 bilion.

"Jadi ia bukan sesuatu perkara luar biasa (jual aset), cuma ia memerlukan pertimbangan yang strategik mengikut keadaan pasaran dan memastikan ia boleh memberi nilai lebih kepada aset kita (Khazanah). Dan ini yang sedang dilakukan Khazanah.

"Nilai aset Khazanah pada masa ini adalah kira-kira RM130 bilion dan imbangan kira-kira bersih syarikat pelaburan ini jauh lebih kukuh berbanding sebelumnya," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai rakan strategik bagi Malaysia Airlines Bhd (MAB), Mohamed Azmi berkata, Khazanah ada menerima beberapa cadangan daripada pihak berpotensi untuk syarikat penerbangan nasional itu.

"Khazanah sedang meneliti cadangan berkenaan tetapi buat masa ini saya tidak boleh menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara berkenaan kerana proses penelitian masih dibuat.

"Pengumuman rasmi akan dibuat selepas Khazanah dan MAB selesai menjalankan penelitian itu," katanya. 

Berita Harian X