Isnin, 7 Oktober 2019 | 3:08pm
Foodpanda Malaysia akan melihat kemungkinan untuk mengkaji semula skim pembayaran yang menimbulkan kontroversi dalam kalangan penghantar. - Foto hiasan

Skim pembayaran diteruskan, kaji semula 4 minggu

KUALA LUMPUR: Foodpanda Malaysia akan melihat kemungkinan untuk mengkaji semula skim pembayaran yang menimbulkan kontroversi dalam kalangan penghantar mereka selepas empat minggu ia diperkenalkan bermula 30 September lalu.

Pengarah Urusannya, Sayantan Das, berkata skim pembayaran yang membabitkan penghantar di luar Lembah Klang berjumlah kira-kira 30 peratus daripada lebih 13,000 penghantar itu akan diteruskan buat masa ini.

“Kita akan melihat keperluan mengkaji semula skim ini selepas empat minggu. Buat masa ini kebanyakan penghantar menerima baik skim ini.

“Skim pembayaran yang ditawarkan Foodpanda ketika ini adalah munasabah dan kita memberi jaminan kepada penghantar di luar Lembah Klang akan menerima sekurang-kurangnya satu tempahan bagi setiap jam.

“Penghantar tidak hanya menerima RM7 bagi setiap tempahan, malah kami juga menawarkan bonus iaitu RM150 jika berjaya mengumpul 40 jam seminggu dan RM1 bagi setiap tempahan antara 11 malam dan 9 pagi setiap hari,” katanya dalam taklimat media di sini, hari ini.

Sayantan berkata, bagi memastikan penghantar dapat menerima lebih banyak tempahan, Foodpanda juga menyenaraikan ‘zon panas’ atau ‘zon berpotensi tinggi’ untuk penghantar, sekali gus tidak timbul sebarang isu mengenai ketiadaan tempahan untuk tempoh yang lama.

“Sebenarnya, skim pembayaran baharu ini itu memberi peluang kepada penghantar meraih lebih bayaran sehingga 50 peratus. Jika penghantar yang tidak mencapai prestasi yang baik, skim ini dapat memotivasikan mereka.

“Sebagai contoh, penghantar sebelum ini menerima RM5 bagi setiap tempahan akan menerima RM7 setiap tempahan. Skim ini adalah model yang sangat cekap untuk penghantar meraih lebih pendapatan,” katanya.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini mengadakan dialog dengan penghantar foodpanda selepas menemui pengurusan syarikat berkenaan bagi membantu meleraikan isu berkenaan.

Isu membabitkan penghantar makanan foodpanda tercetus selepas beberapa klip video dan foto tersebar minggu lalu, antara lain memaparkan mereka melancarkan mogok kerana membantah pengenalan kadar baharu bayaran untuk pekerja.

Isnin lalu, lebih 200 penghantar Foodpanda dilaporkan mogok di ibu pejabat syarikat penghantar makanan dalam talian dekat Jalan Chan Sow Lin, di sini, sebagai membantah skim pembayaran baharu yang didakwa tidak adil.

Berita Harian X