Selasa, 8 Oktober 2019 | 8:24am

MDEC libatkan pemimpin industri mantapkan DICE

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengumumkan bahawa Dasar Ekosistem Kandungan Digital (DICE) yang bakal diperkenalkan sedang menjalani proses keperluan serta pensindiketan yang diterajui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Mesyuarat peringkat tertinggi minggu lalu, yang menyaksikan penyertaan pemimpin kerajaan dan industri adalah sebahagian daripada proses membangunkan Dasar DICE 2020-2030 yang sedang dilaksanakan MDEC.

"Matlamat utama pembabitan ini bertujuan mewujudkan kefahaman yang lebih mendalam terhadap Dasar DICE dan mengembangkan lagi jangkauan kerajaan ke atas industri kreatif," kata MDEC dalam satu kenyataan.

Dasar DICE yang diumumkan pada Ogos 2019, adalah kertas komprehensif yang disusun MDEC di bawah arahan KKMM bertujuan memperkukuhkan industri kandungan digital tempatan dan seterusnya, meletakkan negara sebagai peneraju dalam penciptaan serta penerbitan kandungan digital.

Sesi mesyuarat minggu lalu membabitkan industri digital daripada syarikat studio animasi, pengeluar permainan video digital, platform dan ekosistem.

Berita Harian X