Rabu, 9 Oktober 2019 | 1:30pm

Masalah aliran tunai, Utusan Melayu tamatkan operasi

KUALA LUMPUR: Utusan Melayu (Malaysia) Bhd menamatkan perkhidmatan semua pekerjanya pada 31 Oktober ini berikutan berdepan prestasi syarikat yang merosot.

Menerusi satu memorandum pekeliling yang dikeluarkan akhbar berkenaan, tarikh akhir bekerja bagi kakitangan syarikat itu adalah hari ini.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir, berkata sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Utusan Melayu telah melalui tempoh perniagaan paling kritikal sejak mula beroperasi 80 tahun yang lalu.

“Keadaan syarikat semakin merosot selepas Mei 2018. Pelbagai usaha telah dilaksanakan dengan harapan untuk meletakkan syarikat kepada kedudukan lebih kukuh dan terjamin.

“Antara langkah yang diambil ialah menawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) yang menyaksikan lebih 700 kakitangan melepaskan jawatan mereka. Ini adalah pemberhentian kerja berskala besar yang terpaksa dilakukan bagi kelangsungan syarikat,” katanya dalam memorandum berkenaan.

Beliau berkata, syarikat juga telah berusaha dengan menjual aset syarikat dan kumpulan untuk menampung modal dan mendapatkan aliran tunai yang mencukupi.

“Namun, edaran harian akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo yang semakin menurun dan sasaran RM4 juta iklan sebulan yang gagal dicapai menyebabkan aliran tunai Utusan semakin tenat.

“Bukan sahaja gaji pekerja gagal dibayar mengikut masa, malah hutang juga tidak dapat dijelaskan dan semakin tertunggak. Syarikat kini berhadapan dengan pelbagai tindakan perundangan daripada pemiutang,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Lembaga Pengarah Utusan pada 7 Oktober lalu meluluskan cadangan Penggulungan Sukarela Pemiutang dan seterusnya meluluskan pelantikan UHY Advisory (KL) Sdn Bhd sebagai Pelikuidasi Interim.

“Langkah itu terpaksa diambil kerana lembaga pengarah berpendapat bahawa syarikat tidak lagi solven untuk meneruskan perniagaan. Oleh yang demikian, syarikat akan memberhentikan operasi berkuatkuasa pada Rabu, 9 Oktober 2019.

“Sehubungan dengan itu, tarikh akhir bekerja telah ditetapkan pada Rabu, 9 Oktober 2019 manakala tarikh akhir perkhidmatan ialah pada Khamis, 31 Oktober 2019,” katanya.

Satu taklimat kepada kakitangan akan diadakan jam petang ini.

Berita Harian X