Khamis, 10 Oktober 2019 | 4:40pm
Ketua Ekonomi Bank Dunia (Malaysia), Richard Record. - NSTP/Azhar Ramli

Perluas liputan SST tingkat pendapatan kerajaan

KUALA LUMPUR: Memperluaskan liputan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) adalah antara usaha yang boleh dilaksanakan kerajaan untuk meningkatkan pendapatan bagi mengukuhkan semula penampan fiskal negara, demikian pandangan ahli ekonomi Bank Dunia.

Ketua Ekonomi Bank Dunia (Malaysia), Richard Record, berkata adalah penting untuk Malaysia mempelbagaikan sumber pendapatannya dari masa ke semasa bagi memperluaskan ruang fiskalnya dalam berdepan kejutan makroekonomi.

Beliau berkata, ketika ini, sumbangan pendapatan sektor swasta kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia masih berada di bawah paras yang diunjurkan untuk negara berpendapatan pertengahan atas.

Katanya, dari segi kutipan cukai kepenggunaan, Malaysia juga masih mencatatkan kutipan yang rendah berbanding negara setara yang lain.

“Cabaran kerajaan kini adalah meluaskan liputan SST. Dengan liputan yang meluas, kita akan melihat peningkatan dalam pendapatan dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media sempena pengumuman perkembangan terkini ekonomi bagi Asia Timur dan Pasifik oleh Bank Dunia di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Negara Bank Dunia bagi Malaysia, Firas Raad dan Ahli Ekonomi Bank Dunia, Shakira Teh Sharifuddin.

Selain itu, Record berkata, antara usaha mempelbagaikan pendapatan lain yang boleh dilaksanakan kerajaan negara ini termasuk menerusi penyusunan semula insentif cukai dan pengembangan cukai pendapatan peribadi.

Berita Harian X