Jumaat, 11 Oktober 2019 | 11:44am
Naib Perdana Menteri China, Liu He (tengah) bergambar dengan Wakil Perdagangan AS., Robert Lighthizer (kiri) dan Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin ketika mereka memulakan rundingan perdagangan di Washington. - Foto AFP
Naib Perdana Menteri China, Liu He (tengah) bergambar dengan Wakil Perdagangan AS., Robert Lighthizer (kiri) dan Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin ketika mereka memulakan rundingan perdagangan di Washington. - Foto AFP

Hari pertama rundingan perdagangan AS-China berakhir dengan harapan cerah

WASHINGTON: Perunding utama Amerika Syarikat (AS) dan China menamatkan hari pertama rundingan perdagangan yang terhenti lebih dua bulan pada Khamis, dengan mana kumpulan perniagaan meluahkan keyakinan kedua-dua pihak mungkin dapat melegakan perang perdagangan yang berlarutan selama 15 bulan dan menangguhkan kenaikan tarif AS berikutnya yang dijadualkan minggu depan.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin, dan Wakil Perdagangan AS, Robert Lighthizer, mengadakan pertemuan dengan Naib Perdana Menteri Liu He dan pegawai kanan China lain selama kira-kira tujuh jam di ibu pejabat Perwakilan Perdagangan AS (USTR) berhampiran Rumah Putih.

"Kami mengadakan rundingan yang sangat baik dengan China," kata Presiden Donald Trump kepada pemberita selepas rundingan itu selesai.

Beliau mengulangi rancangannya untuk bertemu Liu di Rumah Putih hari ini, yang dianggap pemerhati sebagai petanda baik.

Pegawai Rumah Putih berkata rundingan berjalan dengan sangat baik, "mungkin lebih baik dari yang diharapkan."

Liu tersenyum melambai kepada pemberita sebelum meninggalkan USTR menaiki Cadillac berwarna hitam, tanpa menjawab soalan.

Kedua-dua pihak akan bertemu untuk hari terakhir lewat hari ini.

Perunding boleh bersetuju dengan perjanjian awal peringkat rendah berhubung isu seperti mata wang dan perlindungan hak cipta, walaupun terdapat kejengkelan antara dua ekonomi terbesar di dunia itu, kata pegawai Dewan Perniagaan AS yang diberi taklimat oleh kedua-dua pihak.

Myron Brilliant, ketua ehwal antarabangsa Dewan Perniagaan AS, memberitahu pemberita bahawa perunding "cuba mencari laluan ke arah yang lebih besar" dengan kemajuan dalam akses pasaran, harta intelek (IP) dan isu-isu lain.

"Saya percaya bahawa terdapat kemungkinan perjanjian mata wang dicapai minggu ini. Saya fikir ia boleh menjurus kepada keputusan pentadbiran AS untuk tidak mengemukakan kenaikan kadar tarif pada 15 Oktober."

Trump melancarkan perang perdagangan ke atas China meminta diadakan reformasi struktur, tetapi Beijing menyatakan ia tidak bersedia, secara asasnya, unutk mengubah cara ia mengawal ekonomi China.

Ditanya oleh pemberita sama ada beliau bersedia untuk menerima "perjanjian yang lebih kecil," Trump tidak menjawab dan berjalan pergi.

Kedua-dua pihak bertelagah berhubung tuntutan AS bahawa China meningkatkan perlindungan harta intelek AS, menamatkan pencurian siber dan perpindahan teknologi secara paksa ke firma Cina, membendung subsidi perindustrian dan meningkatkan akses syarikat AS ke pasar China yang sebahagian besarnya ditutup.

Rundingan itu tidak dijangka akan menangani isu-isu paling kontroversi, meninggalkan perkara itu bagi rundingan masa depan.

Brilliant, berkata isu IP yang dibincangkan adalah sebahagian besarnya "perlindungan IP abad ke-20" yang membabitkan hak cipta dan pelanggaran cap dagang, bukannya untuk melindungi aliran data, kod sumber komputer dan data komersial.

Perjanjian mata wang berkemungkinan menyusuli selepas ini, selepas persetujuan yang secara dasarnya dicapai antara Washington dan Beijing Februari lalu yang akan menjanjikan penyelarasan janji G20 bertujuan mengelakkan manipulasi mata wang untuk mendapatkan kelebihan perdagangan, kata Craig Allen, presiden Majlis Perniagaan AS-China. - Reuters

Berita Harian X