Sabtu, 12 Oktober 2019 | 3:42pm
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Sasaran defisit fiskal mencabar

KUALA LUMPUR: Walaupun kerajaan tetap komited terhadap fiskal berhemat untuk beberapa tahun akan datang dengan kadar konsolidasi fiskal yang lebih berperingkat pada 2020, namun pendekatan itu masih dilihat mencabar susulan kekurangan ruang hasil, menurut Penyelidikan Global Standard Chartered Bank hari ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semasa membentangkan Belanjawan 2020 semalam berkata, sasaran defisit fiskal ditetapkan semula pada 3.2 peratus daripada Keluran Dalam Negara Kasar (KDNK), sedikit lebih tinggi berbanding angka yang diunjurkan ketika pengumuman Belanjawan 2019 untuk 2020 -- 3.0 peratus.

Bagi 2019, ia dijangkakan pada 3.4 peratus.

Berdasarkan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana (MTFF) kerajaan, defisit fiskal purata dijangkakan pada 2.6 peratus daripada KDNK untuk tempoh 2021 hingga 2022, menurut firma penyelidikan itu dalam kenyataan di sini, hari ini.

“Ini mungkin satu sasaran yang mencabar. Berasaskan andaian pengurangan seragam dalam defisit fiskal, kerajaan mungkin perlu menyasarkan defisit 2.8 peratus dan 2.6 peratus daripada KDNK masing-masing bagi 2021 dan 2022,” katanya.

Ini bertujuan untuk mencapai sasaran defisit yang akan menjadi impak rasionalisasi perbelanjaan bagi jangka sederhana memandangkan kerajaan tidak memperkenalkan sebarang langkah utama untuk hasil bagi 2020.

Merujuk kepada MTFF itu, jumlah hasil kepada KDNK disasarkan pada 15 peratus daripada KDNK.

“Jangkaan kami hasil 2020 adalah 15.2 peratus daripada KDNK manakala daripada persepektif pertumbuhan, MTFF mengunjurkan pertumbuhan hasil 4.2 peratus setahun pada 2021 dan 2022, lebih tinggi berbanding purata pertumbuhan 2.3 peratus bagi tempoh 2016 hingga 2020,” katanya.

Justeru itu, sebarang kejutan positif, seperti kutipan cukai yang lebih cekap atau cukai baharu bagi tempoh beberapa tahun akan datang, sewajarnya meredakan tekanan ke atas rasionalisasi perbelanjaan, menurutnya.

Sementara itu, MIDF Research turut mengakui bahawa kerajaan masih kekal berpegang kepada rancangan konsolidasi fiskal manakala defisit belanjawan Malaysia telah dikurangkan secara beransur-ansur sejak 2009, daripada setinggi 6.7 peratus kepada 3.2 peratus pada 2020.

“(Bagaimanapun), prospek bagi mencapai belanjawan seimbang dalam tempoh tiga tahun akan datang tentunya amat sukar khususnya dengan persekitaran ekonomi global dan ketidaktentuan pasaran selain harga komoditi yang tidak stabil,” menurutnya.

-- BERNAMA

Berita Harian X