Ahad, 13 Oktober 2019 | 3:02pm
Pelaksanaan BSH yang lebih bersasar adalah hala tuju yang tepat membantu isi rumah berpendapatan rendah. - Foto hiasan

Belanjawan 2020 selesaikan isu kritikal negara

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2020 berupaya menyelesaikan beberapa isu kritikal yang dihadapi negara dengan memacu pertumbuhan dan menjana kesaksamaan kemakmuran secara jangka panjang.

Khazanah Research Institute (KRI) dalam nota maklum balasnya berkata, belanjawan pertama diumumkan di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) itu dijangka mengukuhkan struktur ekonomi, membangunkan tenaga buruh berkualiti dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Katanya, pembentangannya di Parlimen pada Jumaat lalu meliputi banyak bidang yang pernah diketengahkan KRI sebelum ini, justeru badan penyelidikan itu berharap dapat memainkan peranan lebih mendalam untuk menyokong pembangunan dasar Belanjawan 2020 bagi mencapai sasaran WKB2030 dengan lebih meluas.

“Antaranya pengumuman pengecualian cukai bagi yuran TASKA akan meringankan bebanan isi rumah untuk menyediakan peruntukkan dalam penjagaan seperti yang pernah diketengahkan dalam laporan KRI; Masanya Untuk Ambil Berat : Tinjauan Ketidaksamaan Jantina, Kerja Penjagaan Tanpa Berbayar dan Guna Masa.

“Bahkan pelaksanaan Bantuan Sara Hidup (BSH) yang lebih bersasar adalah hala tuju yang tepat membantu isi rumah berpendapatan rendah seperti yang diutarakan kami dalam analisis; Membatasi Isi Rumah: Analisis Pendapatan dan Penggunaan Bersepadu,” katanya.

KRI berkata, tumpuan yang diberikan kerajaan dalam isu pengangguran belia turut pernah diketengahkan badan penyelidikan itu menerusi Laporan Transisi Sekolah-ke-Kerja Bagi Golongan Muda Malaysia, yang turut memuatkan isu kemahiran tidak memenuhi keperluan industri dan latihan.

Katanya, penyelesaian isu itu ditekankan dalam Belanjawan 2020 menerusi langkah menaikkan status pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta peruntukkan memupuk budaya sains, inovasi dan dan teknologi dikalangan belia.

“Penyertaan belia dalam pasaran kerja diperkukuhkan lagi menerusi inisiatif untuk peserta TVET dan inisiatif majikan.

“Usaha membangunkan Industri Pertanian 4.0 yang membabitkan langkah meningkatkan kualiti dan produk turut sejajar dengan kajian KRI sebelum ini di bawah laporan Status Padi dan Industri Beras Malaysia yang mencadangkan isu berpunca daripada kelembapan mengeluarkan kepelbagaian jenis padi baharu,” katanya.

Berita Harian X