Isnin, 14 Oktober 2019 | 8:15am
KETUA Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri. - Foto Nik hariff Hassan

Belanjawan 2020 galak perniagaan beralih kepada ruang teknologi - MDEC

KUALA LUMPUR: Peruntukan menggalakkan untuk mengaplikasi pendigitalan dalam Belanjawan 2020, menunjukkan kerajaan secara aktif menggalakkan lebih banyak perniagaan tempatan bergerak segera ke dalam bidang teknologi, kata Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Surina Shukri, berkata peruntukan sebanyak RM70 juta untuk membina 14 Pusat Peningkatan Digital (DEC) setempat, akan mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab teknologi dan digital di rantau ini kerana ia akan memudahkan akses kepada pembiayaan dan pembinaan keupayaan untuk perniagaan, khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Menerusi belanjawan itu, MDEC akan terus mengurus dan menambah baik Program Percepat Transformasi Digital (DTAP). Dilancarkan kira-kira setahun lalu, program ini menawarkan syarikat Malaysia pendekatan berstruktur kepada transformasi digital.

"Ini untuk membantu syarikat pertengahan dan syarikat besar mencapai produktiviti yang lebih tinggi, mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing, dan mewujudkan sumber pertumbuhan atau model perniagaan baharu," katanya pada taklimat media Belanjawan 2020 di sini Sabtu.

Surina berkata, rangkaian DEC, yang juga akan menyokong pengembangan program '100 Go Digital', akan memudahkan pembangunan kapasiti bagi PKS kerana mereka akan mendapat akses segera kepada khidmat nasihat, meningkatkan latihan, dan pembiayaan langsung, termasuk geran.

Berhubung cadangan peruntukan RM20 juta untuk mewujudkan Ekosistem Kandungan Digital yang kondusif, inklusif dan berdaya saing, beliau berkata ekosistem kandungan digital Malaysia mewakili industri yang mempunyai potensi eksport yang luar biasa, dan sangat bergantung pada bakat dan kepintaran bakat negara yang terdapat dalam kalangan warga muda Malaysia.

"Industri kandungan digital adalah sektor kritikal dalam Ekonomi Digital negara, yang melihat kejayaan besar hasil galakan daripada program dan dasar berterusan MDEC.

"Peruntukan sebanyak RM20 juta itu adalah satu lagi peluang yang baik untuk semua rakyat Malaysia dan pencipta kandungan berbakat dari seluruh dunia untuk terus memanfaatkan kejayaan itu," katanya.

Beliau berkata, langkah itu memperkukuh keyakinan bahawa negara mempunyai industri kandungan kreatif, dan dengan meningkatkan peluang untuk menyertai industri ini, Malaysia dapat dan akan meningkatkan usaha untuk meningkatkan daya saingnya dalam ruang ini dan mendorong negara menjadi destinasi pengeluaran kandungan digital.

"Ini juga akan menghantar isyarat penting kepada industri kandungan digital serantau dan global bahawa Malaysia juga serius dan komited untuk membangunkan animasi, permainan, kesan visual dan platform kandungan digital bertaraf dunia," katanya.

Surina berkata, ini juga akan terus memanfaatkan kedudukan kukuh Malaysia sebagai hab serantau bagi industri kandungan kreatif kerana ia terus menghasilkan harta intelektual bertaraf dunia dalam animasi dan permainan.

"Selain itu juga, kami mengharapkan e-sukan dapat menambah baik permainan menerusi tambahan RM20 juta yang diterimanya. Industri kreatif digital Malaysia kini menjadi kuasa besar serantau yang berpotensi untuk menjadi pemimpin global," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X