Isnin, 14 Oktober 2019 | 7:02pm
DR Veerinderjeet Singh (empat kiri) bercakap pada Debat Pasca Belanjawan 2020. Turut bersama MA Sivanesan ,Johan Mahmood Merican , Dr Johar Ramlan , Shakira Teh Sharifuddin , Ravindran Navarathnam, Prof Dr Mansor H Ibrahim dan Prof Dr Edmund Terence Gomez di Sasana Kijang BNM. - Foto Nstp/ Mohd Yusni Ariffin

Perluasan SST mampu tandingi kutipan GST

KUALA LUMPUR: Hasil menerusi cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mampu ditingkatkan sekali ganda, sekali gus menyamai hasil cukai barang dan perkhidmatan (GST), jika liputan cukai berkenaan diperluaskan.

Ketika ini, SST hanya dikenakan kepada 38 peratus barangan dan perkhidmatan berbanding 70 peratus ketika era GST.

Pengerusi Bukan Eksekutif Axcelasia Inc, Dr Veerinderjeet Singh, berkata beliau mencadangkan peluasan itu dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh tiga, empat tahun ini selain barangan keperluan asas dikecualikan daripada cukai.

"Cuma, kerajaan perlu melaksanakan penguatkuasaan yang lebih tegas bagi memastikan syarikat atau individu tidak cuba lari atau mengelak daripada membayar cukai berkenaan.

"Ini kerana, kekurangan SST berbanding GST ialah ia adalah cukai satu peringkat yang mana boleh dimanipulasi oleh peniaga untuk mengelak daripada membayar cukai berkenaan," katanya pada Debat Pasca Pembentangan Belanjawan 2020 anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA) di Sasana Kijang di sini, hari ini.

Sesi debat itu turut disertai Ahli Ekonomi Negara Bank Dunia, Shakira Teh Sharifuddin; Dekan Fakulti Pentadbiran dan Ekonomi Universiti Malaya, Prof Dr Edmund Terence Gomez; Presiden Akademik dan Dekan Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam ( INCEIF), Prof Dr Mansor H Ibrahim serta Pengarah Urusan Sage 3 Capital Sdn Bhd, Ravindran Navaratnam. Sesi itu dikendalikan Naib Presiden MEA, Dr Jorah Ramlan.

Sementara itu Shakira berpendapat, belanjawan 2020 memberi penekanan penting kepada ekonomi digital seperti mana pada belanjawan sebelum ini.

"Terdapat peruntukan untuk Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan sudah semestinya peruntukan untuk Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara ( NFCP).

“Ia adalah seseuatu yang bagus dan saya fikir kita telah melihat banyak perkembangan positif untuk ekonomi digital sama seperti belanjawan lalu.

"Seperti anda lihat, langganan untuk jalur lebar tetap telah meningkat kira-kira lapan kali ganda dan dari segi kelajuan meningkat tiga kali ganda. Jadi, sudah semestinya ia adalah langkah yang amat tepat dalam membawa haluan ekonomi digital Malaysia," katanya.

Mengenai keyakinan kerajaan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi 4.8 peratus pada tahun depan, Shakira enggan mengulas lanjut dan menyerahkannya kepada kerajaan untuk mengulas mengenainya.

"Saya fikir dari pihak kami, kami sudah menyiarkan unjuran untuk Asia Pasifik pada minggu lalu yang mana untuk Malaysia, Bank Dunia meramalkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK) untuk tahun ini adalah 4.6 peratus dan begitu juga dengan tahun depan dan 2021.

"Penggunaan swasta akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan tetapi kami juga berhati-hati dengan cabaran daripada persekitaran luaran," katanya.

Berita Harian X