Selasa, 15 Oktober 2019 | 12:44pm

Seminar MIDA di Offshore Energy 2019 Amsterdam dapat sambutan baik

FRANKFURT: Pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Frankfurt, mengambil bahagian dalam Energy Offshore 2019 di Amsterdam, pameran serta persidangan berhubung sektor minyak dan gas.

Berlangsung pada 8 dan 9 Oktober, pameran itu menarik peserta global utama dalam industri minyak dan gas serta perniagaan.

Pengarah pejabat MIDA Frankfurt, Yusri Hasnan Chu, yang juga bertanggungjawab ke atas Belanda, memberitahu BERNAMA bahawa beliau dijemput untuk membentangkan peluang-peluang pelaburan di sektor minyak dan gas Malaysia.

"Ia adalah inisiatif MDBC (Majlis Perniagaan Belanda Malaysia) dan NLinBusiness (NLIB). Acara ini berlangsung di Pavilion Maritim NL. Saya berkongsi maklumat berhubung ekosistem segmen minyak dan gas yang meliputi aktiviti huluan, hiliran dan pertengahan," katanya.

Pengarah MIDA itu turut bercakap berkaitan industri minyak dan gas huluan matang Malaysia.

"Malaysia kini mempunyai rizab minyak dan gas (O&G) ketiga terbesar di Asia Tenggara," kata Yusri, menekankan bahawa Malaysia mempunyai industri minyak dan gas huluan yang matang.

Menurut pembentangan pengarah MIDA itu, industri minyak, gas dan tenaga (OGE) dalam dekad yang lalu menyumbang kira-kira satu perlima kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

"Sektor ini berusaha untuk mencapai pertumbuhan tahunan lima peratus hingga 2020," katanya, sambil menambah pengeluaran dijangka dilaksanakan di medan minyak yang lebih kompleks dan mencabar seperti air dalam, karbon dioksida yang tinggi, medan dengan hasil marginal selain meningkatkan usaha untuk membuat penemuan baharu minyak (EOR).

Pentingnya O&G dapat dilihat berdasarkan prospek global ke atas sektor itu.

"Minyak dan gas dijangka menyumbang 40 peratus kepada penjanaan kuasa menjelang 2050. Permintaan yang semakin meningkat ke atas gas asli cair di Asia dijangka berterusan, dengan permintaan India dijangkakan melepasi China. Satu lagi kesan penting pemerangkapan karbon dan pengasingan atau CCS, adalah untuk digunakan di loji kuasa gas bagi mengurangkan pelepasan," kata Yusri.

Yusri juga berkata Malaysia menawarkan insentif khas kepada syarikat untuk pelaburan dalam peralatan dan mesin dalam sektor O&G.

Syarikat akan menikmati status perintis dengan pengecualian cukai pendapatan penuh sehingga 10 tahun, elaun cukai pelaburan sehingga 100 peratus daripada perbelanjaan modal yang layak, untuk tempoh lima tahun, bagi pengecualian cukai pendapatan.

Insentif juga disediakan untuk penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih komponen dan jentera. - BERNAMA

Berita Harian X