Selasa, 15 Oktober 2019 | 5:13pm
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto BERNAMA

Kajian mekanisme subsidi petrol M40 siap Mac 2020

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengumumkan kajian mekanisme subsidi petrol untuk golongan berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40) menjelang Mac tahun depan, demikian kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, kajian menyeluruh mengenai perkara itu dilaksanakan dan pengumuman akan dibuat apabila mekanismenya siap.

"(Kajian subsidi petrol) M40 akan siap sedia bulan tiga. Kita akan gunakan mengikut kad," katanya bagi mengulas mengenai subsidi petrol untuk M40.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama Sidang Kemuncak Lembaga Pengarah Antarabangsa 2019, di sini, hari ini.

Pada pembentangan Belanjawan 2020 Jumaat lalu, kerajaan memperuntukkan RM2.2 bilion bagi skim Program Subsidi Petrol (PSP) yang akan memberi manfaat kepada lapan juta pemandu.

Program subsidi petrol bersasar itu akan dilaksanakan pada Januari 2020 dan harga petrol RON95 akan diapungkan dan harga diselaraskan secara beransur-ansur dengan bantuan tunai yang akan dikreditkan terus ke akaun penerima setiap empat bulan sekali.

Ia membabitkan kereta dengan kapasiti enjin 1,600cc dan ke bawah, kereta dengan kapasiti enjin melebihi 1600cc yang berusia lebih 10 tahun, motosikal dengan kapasiti enjin sehingga 150cc dan ke bawah atau motosikal dengan kapasiti enjin melebihi 150cc yang berusia lebih tujuh tahun.

Di bawah program itu, penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) akan menerima kadar subsidi RM30 sebulan bagi kereta dan RM12 sebulan bagi motosikal membabitkan 2.86 juta penerima.

Bagi pemandu lain yang layak dan bukan penerima BSH, mereka akan menerima Kad95 yang membolehkan mereka menikmati subsidi petrol 30 sen per liter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter sebulan bagi motosikal.

Kad95 akan dilaksanakan secara berperingkat pada suku pertama 2020.

Berita Harian X