Selasa, 15 Oktober 2019 | 7:42pm
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof. - Foto BERNAMA

Malaysia jadi negara kuasa beli yang tinggi 2030

PUTRAJAYA: Malaysia menyasarkan menjadi negara yang memiliki kuasa beli yang tinggi menjelang 2030, iaitu satu sasaran lebih jauh ke depan dan mencabar berbanding sekadar menjadi negara berpendapatan tinggi.

Menteri Pembangunan Usahawan (MED), Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata hasrat itu dinyatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu melihat Malaysia bangkit kembali sebagai ‘harimau Asia’ dan disegani kerana memiliki kuasa beli yang tinggi itu.

Katanya, bagi mencapai sasaran itu, Malaysia perlu menjadi negara pengeluar yang dapat memanfaatkan sumber hasil negara dengan mampan dan meningkatkan nilai produk akhir untuk dipasarkan ke luar negara.

“Untuk mencapai negara yang memiliki kuasa membeli tinggi ini ada pelbagai faktor, ini tidak hanya memfokuskan kepada mengukuhkan ringgit. Malaysia perlu menjadi negara pengeluar bukannya negara pengguna.

“Jika tidak menjadi pengeluar, kita akan terlalu tumpukan kepada pembalakan, perlombongan dan menggunakan sumber hasil negara yang lain sehingga memusnahkan alam.

“Kerana itu MED perlu membangunkan usahawan Malaysia dengan lebih mampan supaya hasil yang dikeluarkan mereka akan dapat menjana pendapatan tinggi dan pada masa yang sama memulihara alam sekitar atau sumber hasil negara,” katanya pada Majlis Perasmian Persidangan Masa Depan PKS 2019 di sini, hari ini.

Persidangan yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu bertujuan untuk memberikan maklumat, teknik dan penyelesaian yang dapat mempercepatkan pembangunan PKS supaya kekal berdaya saing dalam era Industri 4.0 dan digital.

Seramai 50 pakar industri dijemput untuk berkongsi pandangan manakala seramai 500 peserta hadir sepanjang sesi persidangan.

Sementara itu, beliau berkata, kementerian bersedia membantu PKS memahami dengan lebih mendalam proses peralihan digitalisasi perniagaan dan perkembangan pesat ekonomi digital.

Katanya, berdasarkan tinjauan rambang, kebanyakan usahawan PKS didapati enggan menceburi sektor digital kerana berpendapat perkhidmatan secara dalam talian tidak selamat.

“Kementerian boleh membantu mereka, dan institusi kewangan yang menyediakan perkhidmatan ini turut menyertakan sekuriti dan insurans sekiranya berlaku perkara diingini,” katanya.

Berita Harian X