Selasa, 15 Oktober 2019 | 8:04pm
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

SST diperluaskan jika tidak beban rakyat

KUALA LUMPUR: Kerajaan hanya memperluaskan liputan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) jika ia tidak membebankan rakyat.

Ia sekali gus menunjukkan komitmen jitu kerajaan dalam menjamin kesejahteraan rakyat.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kerajaan menetapkan syarat berkenaan bagi memastikan rakyat tidak dibebani peningkatan kos sara hidup.

"Itu (perluasan liputan SST) akan kita ambil kira, tetapi dengan syarat ia tidak menambah beban kepada kos sara hidup rakyat," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama di Sidang Kemuncak Pengarah Antarabangsa 2019 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai cadangan ahli ekonomi supaya kerajaan memperluaskan liputan SST bagi meningkatkan pendapatan negara.

Terdahulu, dalam ucaptamanya, Guan Eng berkata, usaha pendigitalan dalam kalangan syarikat kecil dan sederhana (PKS), menggalakkan syarikat tempatan terbaik untuk menembusi pasaran luar.

Ia juga dapat menarik multinasional (MNC) membina hab mereka di Malaysia adalah rancangan untuk meningkatkan produktiviti dan mengintegrasikan ekonomi negara dengan lebih baik dalam rantaian bekalan global.

Beliau berkata, usaha pendigitalan akan disokong oleh Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) RM21.6 bilion.

Guan Eng berkata, Malaysia adalah antara ekonomi di dunia yang mencatatkan pertumbuhan pantas Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua 2019.

Beliau berkata, kerajaan mengunjurkan ekonomi negara akan berkembang 4.7 peratus tahun ini, dan berkembang sedikit pantas 4.8 peratus tahun hadapan.

Katanya, pembaharuan institusi oleh kerajaan semasa menjadi asas kepada pengukuhan ekonomi negara.

"Jika 2018 dan 2019 adalah tahun kami fokus kepada pembersihan kerajaan, 2020 adalah tahun untuk melangkah dan berusaha ke arah menyertai barisan ekonomi maju," katanya.

Berita Harian X