Rabu, 16 Oktober 2019 | 8:12am

Pelaksanaan kontrak prestasi tenaga tingkat keyakinan sektor swasta

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan kontrak prestasi tenaga (EPC) oleh kerajaan dijangka meningkatkan keyakinan pemilik bangunan sektor swasta untuk mengguna pakai model EPC, kata Cenergi SEA Sdn Bhd, anak syarikat tenaga boleh dibaharui (RE) milik penuh Khazanah Nasional Bhd.

Dalam Belanjawan 2020, kerajaan akan meningkatkan pelaksanaan EPC ke atas bangunan kerajaan, dengan memberi penekanan ke atas hospital dan institusi pendidikan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cenergi, Ernest Navaratnam, berkata langkah baharu itu menunjukkan sokongan dan komitmen berterusan kerajaan dalam memperjuangkan kelestarian dan merangsang pertumbuhan industri RE.

"Cenergi terus menjadi penyokong padu model EPC, yang bukan saja menjimatkan kos untuk pelanggan tanpa memerlukan bayaran pendahuluan, bahkan dapat mengurangkan jejak karbon secara menyeluruh,” katanya menerusi satu kenyataan.

Kerajaan juga melanjutkan Elaun Cukai Pelaburan Hijau dan Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau sehingga 2023, yang akan memberi manfaat kepada syarikat dan perniagaan RE di Malaysia, sekali gus membantu negara merealisasikan matlamatnya untuk menjana 20 peratus tenaga daripada sumber RE menjelang 2025, kata Ernest.

Mengulas keputusan kerajaan untuk menukar mekanisme perjanjian pembelian tenaga (PPA) semasa kepada pasaran borang pada masa depan, beliau berkata langkah itu akan membolehkan pembekal RE bersaing secara langsung dalam pasaran runcit.

"Perubahan dalam sistem PPA kepada persaingan langsung dalam pasaran runcit, akan meningkatkan daya saing dan ketelusan dalam pasaran RE.

“Justeru semua penggiat industri akan dapat bersaing secara langsung dan memilih projek pilihan mengikut minat pelaburan masing-masing,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X