Rabu, 16 Oktober 2019 | 2:39pm
Peruntukan Belanjawan 2020 akan meningkatkan ekosistem dan rangkaian pengangkutan negara, langkah yang baik untuk keseluruhan industri logistik. - Foto hiasan

Belanjawan 2020 tangani isu industri logistik

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lalu mencerminkan komitmen kerajaan untuk membangunkan sektor logistik tempatan dengan menangani isu utama yang tertangguh seperti landasan kereta api dan baik pulih jalan.

Manakala, peruntukan besar untuk meningkatkan infrastruktur pelabuhan memerlukan pelan rancangan yang jelas untuk meletakkan Pelabuhan Klang sebagai pusat dan hab logistik dan maritim serantau.

Pengarah Urusan Kumpulan Westports, Datuk Ruben Emir Gnanalingam, berkata peruntukan Belanjawan 2020 akan meningkatkan ekosistem dan rangkaian pengangkutan negara, langkah yang baik untuk keseluruhan industri logistik termasuk Westports Holdings Bhd.

“Inisiatif terbaharu ini mencerminkan pentingnya sektor logistik sebagai aktiviti ekonomi selari dengan usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.

“Bagi pelabuhan Pulau Carey, kajian terkini kerajaan dijangkakan dapat mengetahui kemampuan pulau berkenaan membantu meningkatkan kapasiti pertumbuhan Pelabuhan Klang dalam jangka panjang,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi menerusi e-mel.

Kerajaan sebelum ini memperuntukkan RM50 juta untuk pembaikan dan penyelenggaraan jalan raya ke Pelabuhan Klang, manakala Kementerian Pengangkutan akan memulakan kajian daya maju Rail Bypass (jalan pintas) Serendah-Pelabuhan Klang untuk penghantaran kargo, dan Koridor Logistik Klang - lebuh raya khas yang menghubungkan Northport dan Westport - dengan kedua-dua projek itu dianggarkan bernilai RM8.3 bilion.

Sebanyak RM50 juta tambahan diperuntukkan untuk menggalakkan perkongsian awam-swasta di Zon Ekonomi Khas Kota Perdana Bukit Kayu Hitam.

Pengasas dan Rakan Pengurusan Partners Group Consulting (TPG), Abi Sofian Abdul Hamid, berkata kerajaan sedang menangani keperluan jalan pintas yang sudah tertangguh, dengan kajian mengenainya dijalankan beberapa tahun lalu.

TPG ialah perunding pengurusan bagi infrastruktur pengangkutan dan logistik, perancangan pelabuhan, pembangunan dan operasi.

Abi Sofian juga ialah ahli jawatankuasa pengurusan antarabangsa Chartered Institute of Logistics and Transport Malaysia (CILT) yang menyelia semua cawangan CILT di seluruh dunia.

Beliau berkata, kajian ke atas perkhidmatan kereta api akan dapat mengenal pasti dengan jelas keperluan untuk perkhidmatan dan operasi, khususnya bagi pergerakan kargo ke pelabuhan sebagai sebahagian daripada pakej Belanjawan 2020.

“Sekiranya jalan pintas selesai, adakah pengendali kereta api seperti Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) atau kerajaan membeli lebih banyak gerabak dan lokomotif untuk menampung unjuran trafik?

“Adakah infrastruktur dan perhubungan yang lebih baik meningkatkan produktiviti dan kecekapan perkhidmatan yang akhirnya menyumbang kepada keseluruhan rantaian bekalan?

“Pendek kata, apakah infrastruktur akan digunakan secara optimum?” katanya.

Beliau berkata, hubungan adalah tumpuan utama dalam membangunkan sistem kereta api dalam negara, terutama untuk meningkatkan pertumbuhan kontena di Pelabuhan Klang, sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Pelabuhan Klang sebagai pusat maritim utama.

“Pada masa yang sama, kesalinghubungan bersepadu antara pelbagai pusat pengedaran kontena dengan pelabuhan dan lapangan terbang juga perlu dititikberatkan.

“Pembangunan pusat kargo Bukit Kayu Hitam pula akan menjadi alternatif bagi kontena yang akan diangkut secara langsung melalui jalan raya di sepanjang Lebuh Raya PLUS ke Pelabuhan Pulau Pinang dan bukannya melalui Padang Besar menggunakan kereta api, memandangkan kini tiada rel menghubungkan Bukit Kayu Hitam ke Pelabuhan Pulau Pinang,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X