Rabu, 16 Oktober 2019 | 5:20pm

Fitch kekal penarafan Malaysia selepas Belanjawan 2020

KUALA LUMPUR: Fitch Ratings mengekalkan penarafan kredit Malaysia pada ‘A-/Stabil’ di sebalik sasaran baharu defisit yang dibentangkan dalam Belanjawan 2020 sebagai tindak balas kepada peningkatan risiko pertumbuhan ekonomi.

Agensi penarafan itu dalam kenyataannya menjelaskan, ia tidak menunjukkan perubahan yang ketara terhadap usaha penyatuan fiskal Malaysia.

“Sasaran baharu fiskal itu lebih longgar daripada jangkaan kami apabila mengekalkan penarafan kredit Malaysia kepada ‘A-/Stabil’ pada Julai lalu.

“Bagaimanapun, sasaran baharu itu tidak mengubah secara fundamental unjuran fiskal dari segi jangka pertengahan,” katanya.

Belanjawan yang dibentangkan Jumaat lalu adalah kali kedua sejak gabungan Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum Mei 2018.

Ia menyasarkan defisit fiskal bagi tahun 2020 sebanyak 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), yang disemak semula berbanding 3.0 peratus sebelum ini.

Kerajaan dijangka untuk memenuhi sasaran 3.4 peratus tahun ini dan mengunjurkan defisit untuk berkembang secara purata pada 2.8 peratus bagi jangka pertengahan.

Kerajaan menganggarkan hutang umum kerajaan kepada KDNK meningkat kepada 65.1 peratus pada bulan Jun tahun ini (termasuk jaminan yang ditanggung daripada belanjawan dan hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) daripada 62.6 peratus pada Disember 2018.

Agensi penarafan itu berkata, kenaikan nisbah hutang adalah disebabkan peningkatan jaminan yang ditanggung untuk penerusan projek infrastruktur serta penyelamatan Tabung Haji dan FELDA.

“Sebagai hasilnya, ia akan mengambil masa lebih lama dan memerlukan lebih banyak usaha konsolidasi untuk membawa hutang lebih dekat kepada kategori 'A', iaitu 48 peratus daripada KDNK,” katanya.

Fitch berkata, belanjawan pertama kerajaan pada November tahun lalu menampilkan semakan semula sasaran defisit jangka pendek yang lebih besar, dengan defisit 208 meningkat kepada 3.7 peratus kepada 2.8 peratus.

Secara keseluruhannya, Fitch berkata penyatuan fiskal seimbang dalam Belanjawan 2020 dengan keinginan untuk menyokong pertumbuhan KDNK, yang diunjurkan untuk berkembang perlahan kepada 4.5 peratus pada 2019 dan 2020, daripada 4.7 peratus pada 2018.

Berita Harian X