Khamis, 17 Oktober 2019 | 8:20am

Inisiatif Tapak Ujian Global dorong inovasi teknologi baharu - MDEC

PUTRAJAYA: Satu inisiatif Tapak Ujian Global akan diwujudkan bagi menggalakkan teknologi baharu generasi berikutnya melakukan usaha inovasi, demikian menurut Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Platform itu adalah antara inisiatif utama yang dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Pelaksanaan Koridor Raya Multimedia (MSC) ke-30 bagi memacu ekonomi digital di negara ini.

"Di bawah inisiatif ini, MDEC akan menggerakkan pembangunan dalam sektor teknologi kewangan (fintech), blockchain dan dron dengan menarik pekerja digital global selain minat daripada pelabur," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan selepas mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di sini, semalam.

Menurut MDEC, inisiatif tapak ujian 'dronetech' (teknologi dron) akan turut dilaksanakan bagi memanfaatkan kadar pelaksanaannya yang meningkat secara ketara di serata dunia.

"Sektor dronetech itu dijangka dapat menjana nilai kira-kira AS$127 bilion menjelang 2025. Pada masa ini, beberapa syarikat Malaysia juga telah menjadi peneraju global dalam pasaran dronetech tersebut," katanya.

Bagi menangani peningkatan permintaan membabitkan tenaga kerja celik digital, MDEC telah mencadangkan pembentukan Kerangka Strategi Pembangunan Pekerja Digital yang baharu.

"Ia direka khusus untuk menggerakkan dan menyelaras usaha pemupukan bakat teknologi Malaysia secara menyeluruh baik di peringkat tempatan mahu pun antarabangsa," katanya.

MDEC berkata, kerangka itu juga sejajar pembentukan Majlis Keterangkuman Digital Kebangsaan membabitkan pelbagai kementerian yang diumumkan Perdana Menteri selepas mesyuarat hari ini.

Menurut MDEC, turut dicadangkan adalah penubuhan Akademi Pereka Baharu Masa Depan iaitu komponen pendidikan yang berteraskan kejayaan program #mydigitalmaker agensi itu.

"Platform itu akan meninjau usaha dari aspek menyediakan bimbingan mentor industri terhadap pelajar-pelajar peringkat asas mulai 2021 dan seterusnya menerusi kohort awal membabitkan 100 pereka muda," katanya.

Malah, sama seperti program #mydigitalmaker, MDEC berkata inisiatif itu bertujuan melahirkan kalangan tenaga kerja atau bakat yang dilengkapi kemahiran teknologi, keusahawanan dan komunikasi.

MDEC turut diberi tanggung jawab untuk mewujudkan serta menyelenggara Daftar Kemahiran Digital Kebangsaan.

"Pendaftaran ini akan bertindak sebagai panduan bagi inisiatif pembelajaran sepanjang hayat dan khusus untuk rakyat Malaysia yang berdepan cabaran dalam pasaran kerja terbabit," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X