Khamis, 17 Oktober 2019 | 8:24am

Kerajaan mungkin gagal capai sasaran defisit tahun ini - Moody's

KUALA LUMPUR: Kerajaan kemungkinan gagal mencapai sasaran defisit bagi tahun ini dan tahun depan, berikutan kesan daripada pertumbuhan hasil yang perlahan ditambah dengan kesukaran mengehadkan perbelanjaan apabila permintaan lemah, kata Moody’s Investors Service.

Agensi penarafan itu berkata, meskipun permintaan luaran yang lemah serta harga komoditi dan pasaran kewangan tidak menentu, kerajaan mengekalkan konsolidasi fiskalnya yang menyokong kredit dalam Belanjawan 2020 kerana ia mensasarkan defisit 3.2 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahun depan, lebih tinggi berbanding sasaran asal 3.0 peratus.

Bagaimanapun, defisit 2020 adalah lebih kecil berbanding unjuran defisit 3.4 peratus daripada KDNK pada 2019.

“Tidak termasuk hasil sekali dan item perbelanjaan dari 2019, Belanjawan 2020 – yang kedua sejak kerajaan mengambil alih pentadbiran pada Mei 2019 – adalah berdasarkan kepada kenaikan hasil 4.8 peratus tahun ke tahun dan peningkatan perbelanjaan 6.5 peratus.

“Sebagai sebahagian daripada KDNK, ini bermakna penurunan berterusan hasil yang berlaku sejak 2012, mencerminkan kemerosotan asas pendapatan kerajaan,” kata Moody’s.

Agensi penarafan itu berkata demikian dalam notanya yang bertajuk “Government of Malaysia: Growth-focused budget pursues continued deficit reduction; government may narrowly miss targets amid weak demand” (Kerajaan Malaysia: belanjawan tumpu pertumbuhan sasar pengurangan defisit berterusan; kerajaan mungkin gagal capai sasaran berikutan permintaan lemah) yang dikeluarkan semalam.

Moody’s berkata bagi hasil, ia termasuk dividen khas RM30 bilion daripada Petronas, manakala perbelanjaan memasukkan peruntukan sekali bagi bayaran balik cukai sebanyak RM37 bilion.

Semakan semua unjuran hasil bagi 2019 mengambil kira kenaikan kecil perolehan daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) manakala Program Khas Pengakuan Sukarela juga akan menyumbang kepada kutipan cukai korporat dan individu yang lebih besar.

Sementara itu, Moody’s berkata perbelanjaan akan menjadi lebih besar berbanding yang dianggarkan berikutan subsidi bahan api, walaupun penjadualan semula projek dan semakan semula kos mengurangkan perbelanjaan pembangunan.

“Di bawah fiskal semasa, kami menjangka hutang kerajaan menghampiri 55 peratus daripada KDNK pada 2019 dan 2020. Pada paras ini, hutang kekal tinggi berbanding unjuran median penarafan A pada 37.6 peratus bagi 2019, menunjukkan kekangan fiskal sebagai cabaran kredit utama bagi Malaysia,” kata agensi penarafan itu.

Hasil rendah juga memberi kesan kepada kemampuan hutang. Berdasarkan kepada anggaran kerajaan, pembayaran faedah berjumlah 12.5 peratus daripada hasil pada 2019. - BERNAMA

Berita Harian X