Khamis, 17 Oktober 2019 | 2:23pm
Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Wan Latiff Wan Musa. - NSTP/Rosdan Wahid

MATRADE harap larangan import minyak sawit Malaysia tidak akan berlaku

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mengharapkan larangan import minyak sawit Malaysia dari India tidak akan berlaku kerana ia mampu memberi kesan kepada perdagangan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Latiff Wan Musa, berkata ini kerana pada masa ini India adalah pengeksport minyak sawit negara yang terbesar dengan dalam sembilan bulan pertama tahun ini, negara itu mengimport 3.9 juta tan minyak sawit Malaysia.

Katanya, setakat ini masih belum ada keputusan rasmi daripada kerajaan India mengenai perkara terbabit dan kerajaan menerusi Kementerian Industri Utama sedang memantau perkembangan berkenaan.

"Ini adalah sesuatu yang kami tidak mahu ia berlaku, dan maksud saya, bukan hanya di antara Malaysia dan India, tetapi di antara Malaysia dan negara lain dan juga di antara negara lain dengan negara lain.

"Sebaik dasar perlindungan dilaksanakan seperti perang perdagangan, inilah yang berlaku ketika ini. Ia tidak sihat untuk pertumbuhan perdagangan di peringkat global.

"Apabila berlaku perang perdagangan di antara dua negara, kita juga akan terjejas kerana ia akan mempunyai impak kepada ekonomi dunia secara keseluruhan. Apabila ekonomi dunia menurun, permintaan akan berkurangan, dan kita sebagai penjual, dalam kes ini minyak sawit akan terjejas," katanya pada sidang media penganjuran Hari Eksport Kebangsaan (NED) 2019, di sini, hari ini.

NED 2019 diadakan bertujuan membantu komuniti pengeksport Malaysia mengembangkan kehadiran mereka di peringkat global di tengah-tengah cabaran ekonomi dunia yang sedang meningkat.

Ia akan diadakan pada 24 Oktober ini dan dijangka akan menarik lebih 1,000 peserta.

Dalam perkembangan lain, Wan Latiff menyifatkan Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lalu sebagai amat mesra perniagaan apabila menawarkan banyak insentif termasuk galakan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mempromosikan perniagaan mereka ke luar negara.

Katanya, antara pengumuman yang menarik perhatian ialah insentif untuk membantu syarikat pembinaan tempatan membida projek dan konsesi di luar negara yang mana selama ini ia sudah pun dilaksanakan oleh MATRADE.

"Kami menyambut baik pengumuman ini kerana mahu melihat lebih banyak syarikat tempatan untuk membida projek di luar negara. Di dalam proses ini kami harapkan syarikat ini dapat turut membawa bersama PKS untuk menyokong dan membekal produk dan perkhidmatan kepada mereka sewaktu melaksanakan projek berkenaan.

"Selain itu, peningkatan siling setiap syarikat bagi inisiatif Geran Pembangunan Pasaran (MDG) oleh MATRADE dari RM200 ribu kepada RM300 ribu setiap tahun akan membuka peluang untuk syarikat yang sudah mencecah had siling itu sebelum ini, untuk menyertai kembali pameran eksport luar negara.

"Selain itu kengan kenaikan had tuntutan untuk penyertaan dalam setiap pameran eksport dari RM15,000 kepada RM25,000 juga akan menggalakkan lebih ramai PKS untuk menyertai pameran eksport ke luar negara pada tahun depan," katanya.

Berita Harian X