Khamis, 17 Oktober 2019 | 2:53pm
Celcom Axiata Bhd.

Celcom Axiata perkenal Celcom Business Suite For Retail

KUALA LUMPUR: Celcom Axiata Bhd memperkenalkan Celcom Business Suite For Retail, kombinasi sempurna bagi penyelesaian sehenti komunikasi dan operasi digital.

Produk baharu yang direka khas untuk memperluaskan dan mendigitalkan perniagaan runcit bakal meringankan beban pemilik perniagaan dengan barisan penyelesaian dan perkhidmatan maya komprehensif dalam pasaran.

Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Celcom Axiata, Azlan Zainal Abidin, berkata pakej yang lebih menonjol dengan menawarkan penyelesaian hujung ke hujung iaitu hubungan mudah alih dengan peruntukan data yang besar dan fleksibel, internet tanpa wayar, penyelesaian jualan, pemasaran dan operasi.

“Tahap fleksibiliti juga berbeza mengikut keperluan saiz perniagaan,” katanya kepada media selepas melancarkan Celcom Business Suite For Retail di sini, hari ini.

Celcom Business Suite For Retail menawarkan lima pakej iaitu Celcom Business AllShare yang mana memberikan keterhubungan lancar di antara pemilik perniagaan dengan pekerja melalui rangkaian 4G LTE.

Menerusi pakej itu, pelanggan turut boleh memilih Celcom Business AllShare Gold, Gold Plus dan Platinum yang menawarkan data 180 gigabait (GB) hingga 1,700GB dan boleh dikongsi oleh lima talian hingga 50 talian.

Pakej kedua yang ditawarkan adalah Celcom Business Wireless dengan internet berkelajuan tinggi berkapasiti 150GB yang boleh menghubungkan 64 peranti dalam satu masa.

Pakej ketiga adalah Celcom SafePay mPOS yang menawarkan kaedah pembayaran kad elektronik pantas dan selamat dengan hanya menggunakan telefon mudah alih atau tablet.

Pakej keempat pula ialah OMNI Communication iaitu portal laman sesawang sehenti yang membolehkan capaian meluas pelanggan melalui sistem khidmat pesanan ringkas (SMS), emel, Push Notification dan aplikasi sembang.

Pakej terakhir menerusi Celcom Business Suite For Retail adalah VirtuExt iaitu integrasi antara talian telefon tunggal di pejabat dengan pelbagai nombor bagi membolehkan kakitangan dihubungi oleh pelanggan.

Azlan berkata, pakej yang ditawarkan Celcom dapat memenuhi keperluan serta kehendak digital perusahaan kecil dan sederhana (PKS) runcit yang menjadi penyumbang terbesar kepada landskap ekonomi Malaysia.

“Celcom Business Suite For Retail merangkumkan semua peralatan dan penyelesaian digital dalam satu pakej yang lebih mudah dan ringkas dalam membantu PKS membina serta membangunkan perniagaan,” katanya.

Berita Harian X