Rabu, 23 Oktober 2019 | 12:24pm

Malaysia pertimbang kurangkan tuntutan ganti rugi Goldman sehingga AS$2 bilion

KUALA LUMPUR: Malaysia sekali lagi secara terbuka menuntut Goldman Sachs membayar ganti rugi sejumlah AS$7.5 bilion (RM31.45 bilion) sebagai peranannya dalam penyelesaian skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Bagaimanapun, perunding Malaysia secara sulit sedang mempertimbangkan untuk mengurangkan jumlah pembayaran itu.

Menurut laporan Bloomberg, wakil Malaysia telah mengadakan perbincangan dengan bank Wall Street untuk pengurangan kira-kira AS$2 bilion hingga AS$3 bilion (RM8.39 bilion hingga RM12.58 bilion), demikian menurut sumber yang mengetahui perkara itu.

Meskipun keputusan di peringkat akhir mungkin menyimpang daripada angka berkenaan, ia menunjukkan perunding berkenaan berkemungkinan sudah bersedia untuk menerimanya.

Pada masa sama juga, pendakwa raya Malaysia kini sedang berusaha untuk menimbulkan tekanan dengan menolak kes jenayah Goldman untuk diperdengarkan di Mahkamah Tinggi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berminat untuk mencapai persetujuan sebelum akhir tahun bagi menunjukkan perkembangan terhadap janjinya untuk menuntut semula kerugian akibat skandal dana pelaburan negara itu.

Beliau menghantar Pengerusi Jawatan Kuasa Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin, sebagai individu kepercayaan di luar Kabinetnya untuk menjadi ‘perantara’ utama, demikian menurut sumber itu.

Hasil satu penyelesaian yang cukup besar akan membantu mengukuhkan lagi keadaan fiskal negara, yang mana turut dijadikan alasan Dr Mahathir untuk menangguhkan penyerahan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. - BLOOMBERG

Berita Harian X