Rabu, 23 Oktober 2019 | 3:25pm
Acson melancarkan produk penyembur Anti Volatile Organic Compound (VOC) yang pertama di negara ini bagi meningkatkan kualiti udara serta menerapkan gaya hidup sihat kepada pengguna. - NSTP/Syarafiq Abd Samad
Acson melancarkan produk penyembur Anti Volatile Organic Compound (VOC) yang pertama di negara ini bagi meningkatkan kualiti udara serta menerapkan gaya hidup sihat kepada pengguna. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

ACSON lancar penyembur anti VOC pertama di negara ini

KUALA LUMPUR: Jenama penghawa dingin tempatan, Acson Malaysia (Acson) melancarkan produk penyembur Anti Volatile Organic Compound (VOC) yang pertama di negara ini bagi meningkatkan kualiti udara serta menerapkan gaya hidup sihat kepada pengguna.

Pengurus Besar Acson, Yeap Kin Oun, berkata walaupun masyarakat sedar mengenai keburukan pencemaran udara, tetapi ramai yang tidak tahu VOC juga adalah ancaman tersembunyi dalam kediaman kita.

“VOC yang sudah sebati di udara dalaman mungkin berbau dan tidak berbau. Pernafasan di peringkat rendah VOC boleh meningkatkan risiko masalah kesihatan dalam jangka masa panjang.

“Penyembur Acson Anti VOC direka khas untuk menguraikan VOC, bahan kimia yang mungkin terdapat dalam produk rumah seperti cat, varnis, karpet, lantai vinil, produk kayu komposit, penyegar udara dan ia boleh kekal sehingga dua tahun.

“Selain itu, ia juga boleh digunakan untuk meminimumkan pendedahan kepada VOC,” katanya pada majlis pelancaran produk berkenaan di sini, hari ini.

Acson adalah pengedar eksklusif penyembur Anti VOC di negara ini dan produk berkenaan dihasilkan menggunakan teknologi Nano Titanium Dioxide dipatenkan oleh Nanopac Co Ltd dari Korea Selatan.

Selain itu, sempena sambutan ulang tahun ke-35, Acson juga melancarkan Aroma Diffuser yang sesuai untuk individu yang mengutamakan kualiti hidup yang lebih tinggi.

“Dengan menambah beberapa titis minyak aromaterapi dalam Aroma Diffuser, ia boleh mewujudkan ketenangan dalam rumah serta meningkatkan kualiti tidur yang nyeyak.

“Ia juga boleh berfungsi sebagai ‘humidifier’ untuk mengekalkan kelembapan di udara pada tahap yang sihat dan selesa,” katanya.

Kedua-dua produk berkenaan akan dijual secara eksklusif di PrestoMall dengan diskaun istimewa bermula 23 Oktober hingga 29 Oktober depan.

Sepanjang tempoh promosi itu berlangsung, pembeli yang membuat tempahan awal akan dapat membeli penyembur Acson Anti VOC pada harga RM159 saja berbanding harga asal RM209 dan Aroma Diffuser pada harga RM129 (harga asal RM169).

Berita Harian X