Rabu, 23 Oktober 2019 | 9:17pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. NSTP/Aizuddin Saad.
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. NSTP/Aizuddin Saad.

Negara pesat membangun perlu tingkatkan kerjasama

KUALA LUMPUR: Negara-negara sedang pesat membangun perlu meningkatkan kerjasama menerusi satu rangka kerja berbilang hala agar pendigitalan dapat menjadi platform yang luas, tersedia, mudah dicapai dan mampu milik untuk semua, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata langkah itu perlu dilaksanakan dalam aspek merangkumi isu rentas sempadan seperti perdagangan digital, percukaian dan perubahan iklim untuk memastikan tidak berlaku kerugian ekonomi negara dan kawalan monetari bagi negara kecil.

“Selain itu rangka kerja tersebut juga diperlukan dalam isu mengukuhkan pembaharuan institusi untuk meningkatkan tahap ketelusan dan kebertanggungjawapan serta memerangi rasuah,” katanya semasa berucap di Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan Jawatankuasa Pembangunan Bank Dunia di Washington D.C., Amerika Syarikat baru-baru ini.

Beliau menyampaikan ucapan itu selaku pengerusi bagi kelompok yang merangkumi Brunei, Fiji, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Nepal, Singapura, Thailand, Tonga dan Vietnam.

Guan Eng berkata, rangka kerja bersifat berbilang hala tersebut juga perlu dalam aspek membina kemahiran dan kapasiti modal insan serta menambah baik kesalinghubungan dan mobiliti untuk mendapatkan sepenuhnya faedah revolusi digital global yang bertujuan mengurangkan kesan kehilangan pekerjaan.

Beliau berkata, Kumpulan Bank Dunia (WBG) menjangkakan 75 juta pekerjaan akan hilang akibat gangguan digital.

“Oleh itu, pelaburan untuk mencipta peluang pekerjaan baharu diperlukan bagi menggantikan pekerjaan berkenaan. Kami bersedia untuk bekerjasama dengan Presiden WBG, David Malpass untuk merangka dasar yang baik dan berkesan ke arah mewujudkan pertumbuhan mampan dan kemakmuran bersama.

“WBG juga seharusnya mewujudkan ketelusan hutang untuk membina asas yang menggalakkan kejelasan, kesinambungan dan kepastian,” katanya.

Guan Eng berkata, kelompok negara tersebut juga bersetuju dengan pendekatan WBG untuk menyokong kerjasama berbilang hala bagi mengurangkan pertikaian perdagangan dalam kalangan anggotanya dan mencapai aspirasi membina suasana perdagangan dan pelaburan bebas, teratur dan stabil.

“Walaupun kami menghadapi cabaran kewangan domestik masing-masing, momentum pertumbuhan kami dikekang oleh dasar fahaman perlindungan yang menggugat sistem perdagangan berbilang hala selain gangguan teknologi dan perubahan iklim,” katanya.

Selain itu, definisi hutang kerajaan sedia ada, yang hanya merangkumi pinjaman hutang langsung adalah tidak mencukupi.

“Jaminan dan liabiliti kerajaan yang telah dikomitedkan atau telah terbina akibat berlakunya keingkaran bayaran oleh peminjam prinsipal, tidak termasuk di bawah definisi terbabit.

“Ini tidak memberi gambaran yang benar atau tepat tentang kedudukan hutang sebenar sebuah kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, kelemahan ini menyebabkan berlakunya manipulasi dengan mengehadkan hutang langsung dan meletakkan semua perkara lain sebagai jaminan atau liabiliti kerajaan untuk menyembunyikan kedudukan hutang kerajaan yang sebenarnya lebih tinggi atau lebih teruk.

“Kami menyeru WBG untuk terus mengembangkan kerja-kerja analitik dan saranan polisi untuk ekonomi berpendapatan pertengahan supaya memudahkan peralihan mereka kepada status membangun dan berpendapatan tinggi,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X